Translate

07 January 2021

Usul Hubungan Dengan PAS Dan Bersatu Dibincang Dalam Perhimpunan Agung UMNO

                                

Usul hubungan dengan PAS dan Bersatu dibincang dalam Perhimpunan Agung UMNO

BERNAMA
07/01/2021


KUALA LUMPUR, 6 Jan -- Usul mempertahan kerjasama dengan PAS dan memutuskan hubungan dengan Bersatu semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15, akan dibawa ke Perhimpunan Agung UMNO 31 Jan ini.

Ketua Penerangan UMNO Shahril Hamdan dalam kenyataannya hari ini berkata, langkah itu bagi membolehkan ia dibahas dan diputuskan di peringkat tertinggi parti, mengikut peruntukan perlembagaan UMNO.

Beliau berkata mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) yang berlangsung malam ini, telah memperhalusi semua usul yang dibangkitkan 189 bahagian UMNO ketika mesyuarat perwakilan masing-masing pada Ahad lepas (3 Jan).

“Antara usul utama yang dibangkitkan oleh majoriti besar UMNO bahagian ialah, mempertahankan hubungan kerjasama dengan PAS melalui Muafakat Nasional mengambil kira sentimen permuafakatan yang telah dibina ketika 22 bulan bersama sebagai pembangkang,” katanya.

Shahril berkata usul lain termasuk memutuskan hubungan dengan parti Bersatu semasa menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Katanya, selain itu, mesyuarat perwakilan bahagian juga menggesa supaya PRU-15 dapat diadakan sebelum berakhir suku pertama 2021, bagi membolehkan mandat baharu diserah kepada rakyat tertakluk keadaan COVID-19.


Shahril berkata mengenai pertukaran jawatan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), perkara itu sudah mendapat persetujuan lisan presiden-presiden parti komponen dan akan diabsahkan dalam mesyuarat Dewan Tertinggi BN dalam masa terdekat.

Katanya, mesyuarat MT juga memutuskan untuk menambah kekuatan jentera parti daripada negeri-negeri, bagi membantu mangsa banjir termasuk pasca banjir.

“Skuad Sayang Wanita UMNO dan Skuad Sabil Pemuda UMNO telah dan akan digerak serta sebuah pasukan khas UMNO menangani bencana ditubuhkan, untuk menyelaras gerak kerja penyampaian bantuan kepada mangsa banjir,” katanya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED