Polis Kelantan rampas pistol, senapang angin buatan sendiri
BERNAMA
27/01/2021
PASIR MAS, 27 Jan -- Polis Kelantan menahan dua lelaki dan merampas sepucuk pistol bersama lapan butir peluru hidup serta selaras senapang angin buatan sendiri bersama 67 biji bebola guli, di samping pil kuda serta syabu dalam dua serbuan berasingan sejak Isnin lepas.
Ketua Polis Kelantan Datuk Shafien Mamat berkata dalam kes semalam pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pasir Mas menahan seorang lelaki berusia 38 tahun di hadapan sebuah rumah di Taman SL Panglima Batu Karang, di sini, pada pukul 10.45 pagi selepas menemukan sepucuk pistol berwarna perak bersama lapan peluru hidup bersamanya.
"Suspek mengaku pistol itu adalah miliknya yang dibeli dengan harga RM2,500 daripada seorang lelaki Thailand dikenali sebagai "Abang" pada 2018 yang diambilnya di Kuala Jambu melalui orang tengah dikenali sebagai "Budin" yang sedang menjalani hukuman penjara di Pengkalan Chepa.
“Suspek juga mengaku pistol itu adalah untuk kegunaan sendiri, bagi menjaga keselamatannya sebagai pengedar dadah, dan polis turut merampas empat bungkusan mengandungi kristal di dalam botol mentol disyaki dadah," katanya pada sidang media di IPD Pasir Mas di sini, hari ini.
Dalam serbuan di Kampung Gual Sitok dekat Rantau Panjang di sini, kira-kira 6.30 petang Isnin lepas pula sepasukan anggota Batalion Ke-9 Pasukan Gerakan Am (PGA9) yang melaksanakan Op Benteng menahan seorang lelaki berusia 37 tahun dan merampas selaras senapang angin buatan sendiri bersama 67 biji bebola guli.
Shafien berkata ujian air kencing terhadap kedua-dua suspek didapati positif methamphetamin dan kedua-dua mereka juga didapati memiliki rekod kesalahan lampau berkaitan jenayah penyalahgunaan dadah.