Tidak mengaku merusuh, cederakan polis, buat khianat
Pengutip besi buruk mengaku tidak bersalah mengamuk di balai polis
BERNAMA
27/01/2021
IPOH, 27 Jan -- Seorang pengutip besi buruk mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas tiga pertuduhan iaitu merusuh, mencederakan anggota polis dan melakukan khianat awam, pada Ahad lalu.
Tertuduh, Arnee Ahamad Pazir, 43, membuat pengakuan tidak bersalah selepas ketiga-tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd Wahab.
Berdasarkan pertuduhan pertama, Arnee didakwa melakukan rusuhan pada 11.40 pagi, Ahad lalu di Balai Polis Lahat dan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 90 Akta Polis 1967 yang membawa hukuman denda maksimum RM500 atau penjara tidak lebih enam bulan atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.
Selain itu, lelaki tersebut didakwa melakukan khianat dengan merosakkan pintu cermin Pejabat Enkuiri Balai Polis Lahat pada hari serta waktu yang sama, dan pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara maksimum dua tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.
Bagi pertuduhan ketiga, Arnee didakwa dengan sengaja menyebabkan kecederaan ke atas seorang anggota polis Mohamad Anuar Mohd Noor, 31, dengan memukul kepalanya menggunakan topi keledar juga pada hari, waktu dan tempat yang sama.
Bagi pertuduhan ketiga itu, pendakwaan dibuat di bawah Seksyen 324 Kanun Keseksaan yang jika sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman tersebut, jika sabit kesalahan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nur Asmaniza Muhamad, manakala tertuduh diwakili peguam, Ranjit Singh.
Dalam rayuan kepada anak guamnya, Ranjit memohon mahkamah mengenakan ikat jamin yang rendah memandangkan tertuduh hanya bekerja sebagai pengutip besi buruk dengan pendapatan RM30 sehari.
Ranjit turut memberitahu mahkamah kejadian tersebut berpunca daripada salah faham antara tertuduh dengan anggota polis, mengenai prosedur operasi standard (SOP) yang tidak membenarkan pelanggan makan di dalam premis makanan sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Nur Melati Diana kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM4,000 dengan seorang penjamin dan menetapkan 10 Feb depan, untuk sebutan semula kes.