Translate

27 January 2021

Lelaki Menyamar Polis Ditahan Di Pontian

Lelaki menyamar polis ditahan di Pontian

BERNAMA
27/01/2021 

JOHOR BAHRU, 27 Jan -- Seorang lelaki tempatan ditahan di Kampung Ulu Pulai, Pekan Nanas, dekat Pontian, petang semalam, kerana menyamar sebagai anggota polis, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri ACP Dzulkhairi Mukhtar berkata, pihaknya menerima aduan daripada kakitangan Pejabat Pertanyaan Balai Polis Iskandar Puteri, yang didatangi suspek berpakaian baju operasi polis dan berjaket, memperkenalkan diri sebagai anggota polis daripada Balai Polis Sentral, dekat sini.

Beliau berkata suspek kemudiannya telah mengambil gambar ruang kaunter aduan balai polis, sebelum beredar dengan menaiki kereta jenis Proton Preve berwarna perak.

“Bertindak atas maklumat tersebut, sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah Iskandar Puteri, telah melakukan serbuan dan berjaya menangkap seorang lelaki tempatan serta merampas pelbagai barangan.

“Antara yang dirampas termasuk dua helai 'vest' polis, sepasang baju operasi polis, sepasang uniform 'bush jacket' berserta pangkat Penolong Penguasa Polis, selain dua pasang kasut hitam dan topi Pegawai Kanan Polis 'peak cap' serta beg,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Dzulkhairi berkata turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Preve berwarna Perak yang didaftar atas nama suspek, sebuah telefon bimbit dan tablet tablet jenama Samsung selain satu tali pinggang, beret, tali pinggang operasi, topi 'baseball’, buku, sepasang lencana bahu, tiga pasang lencana kolar, satu lencana integriti dan 10 keping gambar suspek yang berpakaian seragam polis.

Katanya suspek yang berumur lingkungan 60 tahun dan bekerja sebagai pengawal keselamatan itu, mempunyai empat rekod jenayah lampau.

“Bagaimanapun, hasil keputusan ujian saringan air kencing yang dijalankan adalah negatif dan suspek akan dipohon reman untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 170 Kanun Keseksaan dan Seksyen 89 Akta Polis 1967.

“Justeru, polis menyeru kepada semua peniaga aksesori polis agar mematuhi prosedur yang telah ditetapkan, selain menyemak ID polis terlebih dahulu sebelum urusan jual beli dilakukan bagi memastikan aksesori polis tidak disalah guna oleh mereka yang tidak bertanggungjawab,” katanya.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED