Ingkar PKP: 1,388 ditahan pada hari pertama tahun baharu
Astro Awani
2/1/21
KUALA LUMPUR: Hari pertama tahun baharu pada Jumaat menyaksikan individu yang ditahan kerana terlibat dengan aktiviti pusat hiburan adalah paling tinggi iaitu seramai 623 orang.
Angka tersebut daripada jumlah keseluruhan iaitu seramai 1,388 individu yang ditahan Polis Diraja Malaysia (PDRM) atas kesalahan ingkar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, daripada jumlah keseluruhan, seramai 1,352 orang dikenakan kompaun, manakala 32 direman dan empat lagi dijamin.
Selain aktiviti di pusat hiburan, seramai 424 individu turut ditahan kerana gagal mematuhi arahan penjarakan fizikal.
"Ia diikuti dengan kesalahan tidak memakai pelitup muka sebanyak 137 kes; gagal menyediakan peralatan merekod butiran pelanggan sebanyak 118 dan lain lain sebanyak 86," katanya dalam satu kenyataan, di sini pada Sabtu.
Angka tersebut menunjukkan peningkatan berbanding kes yang direkodkan pada Khamis iaitu seramai 347 individu ditahan.
Dalam perkembangan sama, pendatang asing tanpa izin (PATI yang ditahan dalam Operasi Benteng juga meningkat kepada 95 orang pada Jumaat berbanding 31 orang pada Khamis.
Jelas Ismail Sabri, sebanyak 105 Sekatan Jalan Raya (SJR) di seluruh negara diadakan, setakat semalam.
Selain itu, tambah beliau pasukan Task Force Operasi Pematuhan telah membuat 48,316 pemeriksaan bagi memantau dan menguatkuasa pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).
Bagi kuarantin wajib pula, Ismail Sabri berkata seramai 96,312 individu telah pulang ke tanah air sejak 24 Julai 2020 hingga 1 Januari 2021.
Kesemua mereka telah ditempatkan di 76 Hotel dan 16 Institut Latihan Awam (ILA) serta Institut Pengajian Swasta di seluruh negara.
"Daripada jumlah itu, seramai 7,547 individu sedang menjalani proses Kuarantin Wajib, manakala 540 individu telah dihantar ke hospital untuk rawatan.
"Seramai 88,225 individu telah dibenarkan pulang. Mereka telah pulang dari 36 negara," katanya.
Source: Astro Awani
FOR MORE NEWS GO TO: