Translate

06 January 2021

Guru Wanita Didakwa Rasuah Tiga Anggota Polis


 

Seorang Guru Berhadapan Enam Pertuduhan Beri Rasuah kepada Anggota Polis

Guru wanita didakwa rasuah tiga anggota polis

BERNAMA
06/01/2021 


SHAH ALAM, 6 Jan -- Seorang guru mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas enam pertuduhan memberi suapan wang tunai keseluruhan berjumlah RM9,000 kepada tiga anggota polis berhubung tindakan ke atas pekerja asing.

Bagi keenam-enam pertuduhan, Norimi Hashim, 40, didakwa memberi suapan itu kepada anggota Unit Peronda Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Shah Alam Sarjan Mohd Shukor Md Yusop, Pegawai Turus Trafik Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor ASP Mohd Suwardi Mat Desa dan anggota Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik IPD Shah Alam Sarjan Mariani Abdullah.

Kesemua suapan itu sebagai dorongan supaya ketiga-tiga anggota polis terbabit tidak mengambil tindakan ke atas pekerja asingnya yang tiada dokumen perjalanan sah.

Norimi dituduh melakukan kesemua perbuatan itu di Bank CIMB Hicom Industrial Park, Seksyen 26 di sini antara 7 Mac 2019 dan 15 Jun tahun lepas.

Wanita itu turut mengaku tidak bersalah atas enam pertuduhan pilihan memberi suapan membabitkan jumlah sama kepada ketiga-tiga anggota polis berkenaan di lokasi dan masa sama, sebagai balasan untuk mengelakkan tindakan ke atas pekerjanya yang melakukan kesalahan berkaitan imigresen.

Pertuduhan utama dikemukakan mengikut Seksyen 17(b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 manakala pertuduhan pilihan dibuat mengikut Seksyen 6(1)(c)Akta Imigresen 1959/63.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM Fadhli Ab Wahab mencadangkan jaminan RM30,000 untuk kesemua pertuduhan berserta syarat tambahan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melapor diri ke pejabat SPRM terdekat setiap bulan sehingga kes selesai.

Peguam Mohd Yusri Mohd Yusof yang mewakili Norimi memohon mahkamah mengurangkan jumlah jaminan dengan alasan anak guamnya adalah ibu tunggal yang menyara dua anak berusia tujuh dan 10 tahun serta ibu bapanya.

Hakim Rozilah Salleh membenarkan Norimi diikat jamin RM20,000 dengan seorang penjamin untuk kesemua pertuduhan dan membenarkan syarat tambahan yang dicadangkan pendakwaan serta menetapkan 1 Feb untuk sebutan semula kes.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED