Translate

18 November 2020

Naz Empire Fail Saman Fitnah RM3 Juta Terhadap Awal Ashaari (1 Video)

                   
Naz Empire fail saman fitnah RM3 juta terhadap Awal Ashaari

BERNAMA
18/11/2020 



KUALA LUMPUR, 18 Nov -- Sebuah syarikat perkhidmatan mengubah suai dan dekorasi rumah memfailkan saman fitnah RM3 juta terhadap personaliti televisyen

Awal Ashaari dan dua lagi kerana didakwa memfitnahnya berhubung kerja-kerja pengubahsuaian di kediaman baharu selebriti itu.


Naz Empire Sdn Bhd selaku plaintif memfailkan saman itu menerusi Tetuan Hafarizam Wan & Aisha Mubarak pada 13 Nov lepas, dengan menamakan Awal Ashaari atau nama sebenarnya Ahmad Awaluddin Ashaari sebagai defendan pertama, dan Nawal Yasmin Mat Noh serta Muhammad Hilmi Zulkifli sebagai defendan kedua dan ketiga.

Menurut plaintif, Nawal Yasmin dan Muhammad Hilmi menjalankan perniagaan secara perkongsian atas nama SomethingBorrowed By Nawal Enterprise dan didakwa sering berkongsi siaran-siaran gambar atau video berkaitan ubah suai atau dekorasi rumah dalam laman media sosial Instagram mereka, @houseofsix.my.

Melalui semakan senarai kes mahkamah, kes saman itu ditetapkan untuk pengurusan kes di hadapan Timbalan Pendaftar Mahkamah Tinggi Nurliana Ismai pada 11 Dis.

Berdasarkan pernyataan tuntutannya, plaintif mendakwa sekitar 3 Mei 2019, Awal Ashaari dengan menggunakan akaun Instagramnya @awalashaari menghantar pesanan ringkas melalui Direct Message (DM) kepada akaun Instagram plaintif, @nazcarpentry menyatakan hasrat untuk melantik plaintif sebagai kontraktor bagi melakukan kerja-kerja perkayuan bagi kediaman defendan pertama di Sunway Damansara, Petaling Jaya.

Menurut plaintif, selepas mengadakan perjumpaan dan perbincangan, defendan telah menyatakan minat untuk menggunakan perkhidmatan plaintif dan sekitar 19 Julai 2019, syarikat itu telah menghantar dua sebut harga berasingan kepada defendan pertama, namun personaliti televisyen itu kemudian meminta plaintif datang berbincang kerana sebut harga tersebut telah melebihi bajetnya.

Plaintif mendakwa, pihak-pihak berjumpa pada 24 Julai 2019 untuk berbincang tentang sebut harga tersebut, dan defendan pertama telah meminta sebahagian amaun dalam sebut harga itu ditaja oleh plaintif dan sebagai balasan kepada tajaan itu, defendan pertama bersetuju untuk mempromosikan perniagaan plaintif di media sosial Instagram, Facebook dan YouTube.

Plaintif itu mendakwa, pada 27 Julai 2019 syarikat tersebut menghantar sebut harga akhir berjumlah RM320,240, dan plaintif telah bersetuju memberi diskaun kepada defendan pertama bagi kerja-kerja pengubahsuaian sebanyak RM105,240 dan hanya akan mengenakan bayaran sebanyak RM215,000.

Syarikat itu seterusnya mendakwa telah memulakan kerja-kerja pengubahsuaian selepas defendan pertama membayar deposit sebanyak RM100,000 menerusi dua transaksi pada Ogos 2019 dan sekitar 3 Sept 2019, dan plaintif mendakwa defendan menyatakan bahawa beliau mahukan ‘sky roof’ dan tambahan tingkap di dapur rumah baharunya itu, menyebabkan plaintif memberi sebut harga baharu kepada defendan pertama untuk kos pengubahsuaian sebanyak RM7,500.

Menurut plaintif lagi, defendan sekali lagi ingin membuat perubahan di kedua-dua bahagian dapur kering serta basah dan atas permintaan defendan pertama, plaintif bersetuju untuk berjumpa dengan defendan pertama pada 25 Okt 2019, namun, pada hari sama pukul 6 petang, defendan pertama telah mengarahkan plaintif untuk memberhentikan sementara semua kerja berkaitan dengan wet works (define) extended kitchen, melalui perbualan WhatsApp.

Defendan pertama juga secara tiba-tiba telah menimbulkan pelbagai isu dan menyatakan ketidakpuasan hati terhadap hasil atau kualiti kerja plaintif yang sebelum ini tidak pernah dipertikaikan dan sekitar 22 Nov 2019, defendan pertama telah menyuruh plaintif membuat pilihan sama ada untuk menyiapkan segala kerja seperti tersenarai dalam sebut harga ketiga tersebut tetapi defendan pertama tidak akan membayar bagi kerja wet works, atau untuk memulangkan semula sebahagian deposit wang yang telah dibayar berjumlah RM100,000, namun plaintif boleh mengambil 20 peratus daripada jumlah itu sebagai kerugian yang berlaku antara kedua-dua pihak.

Katanya pada sekitar 16 Mac 2020, defendan pertama dengan tiba-tiba memaklumkan kepada plaintif bahawa khidmat plaintif tidak lagi diperlukan serta kononnya defendan pertama tidak berpuas hati terhadap semua kerja-kerja yang telah dilaksanakan.

Pada 1 Jun 2020 defendan pertama sekali lagi menegaskan tidak lagi mahu bekerjasama serta mempunyai sebarang kaitan dengan plaintif selain meminta plaintif memulangkan semula RM100,000 yang telah dibayar dan akan mengambil tindakan undang-undang serta menuntut ganti rugi daripada plaintif.

Menurut plaintif, pihaknya telah melaksanakan kerja-kerja pengubahsuaian di rumah defendan pertama mengikut perjanjian seperti yang dipersetujui oleh kedua-dua pihak, namun begitu, defendan pertama telah secara tiba-tiba melantik kontraktor baharu ketika plaintif masih lagi dalam proses menyelesaikan kerja-kerja pengubahsuaian di rumah defendan pertama dan akibatnya, plaintif terpaksa menanggung kerugian setelah selebriti itu mengupah kontraktor baharu.

Hal ini, dakwa plaintif, disebabkan defendan pertama kononnya telah merobohkan semua kerja yang telah disiapkan oleh plaintif dan tambahan pula, pengiklanan yang dijanjikan oleh defendan pertama juga tidak ditunaikan sehingga ke hari ini.

Rentetan itu, plaintif mendakwa, defendan pertama telah memulakan siri fitnah secara berterusan terhadap plaintif dalam laman sosial Instagram dan Facebook miliknya serta telah memuat naik satu siaran fitnah melalui siaran YouTube di pautan dengan nama pentas ‘SchaAwal’ bagi tujuan sama, dan defendan kedua serta ketiga telah menyiarkan semula satu daripada kenyataan fitnah defendan pertama melalui aplikasi Instagram @houseofsix.my.

Menurut plaintif, pihaknya melalui peguam cara telah menghantar surat tuntutan bertarikh 12 Okt 2020 kepada kesemua defendan, antaranya bagi menuntut ganti rugi daripada mereka dan menuntut kesemua defendan memadam atau menarik semula kesemua hantaran yang telah dimuat naik, serta menuntut permohonan maaf namun, kesemua defendan gagal untuk berbuat demikian.

Hasil daripada kenyataan-kenyataan tersebut, plaintif mendakwa telah menerima pelbagai reaksi negatif daripada para pelanggan, pengguna media sosial Instagram termasuk kecaman atau komen sinis yang tidak benar, menjatuhkan reputasi serta mencalarkan kredibiliti plaintif seperti plaintif tidak jujur dalam menjalankan perniagaan dan plaintif mengambil duit para pelanggan serta melarikan diri.

Sehubungan itu, plaintif menuntut ganti rugi am berjumlah RM3 juta bagi kesemua kenyataan fitnah yang diterbitkan oleh kesemua defendan, faedah lima peratus setahun, ganti rugi teladan, ganti rugi keterlaluan dan injunksi untuk menghalang defendan daripada mengeluarkan sebarang kenyataan memfitnah plaintif pada masa akan datang dan relif-relif lain yang difikirkan sesuai oleh mahkamah.


JANGAN MAIN-MAIN! Ini Yang Awal Ashaari Lakukan Bila Dituduh Buat Fitnah Terhadap Syarikat Perabot?


               

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED