Translate

17 February 2021

Felda Triang 3 Dikenakan PKPD Bermula 18 Februari hingga 3 Mac - Ismail Sabri



Felda Triang 3 dikenakan PKPD bermula 18 Feb hingga 3 Mac - Ismail Sabri

BERNAMA
17/02/2021 

KUALA LUMPUR, 17 Feb -- Kerajaan akan melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Felda Triang 3, Bera, Pahang bermula esok hingga 3 Mac 2021.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata pelaksanaan PKPD itu melibatkan Perumahan Kelapa Sawit dan Taman Lamanda Permai di Felda Triang 3 yang merangkumi 1,356 orang penduduk.

"KKM (Kementerian Kesihatan) mengesahkan sebanyak sembilan kes positif telah dilaporkan dan sehingga 16 Feb 2021, seramai 79 kontak rapat telah dikenal pasti tinggal di lokaliti ini.

"KKM akan melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua penduduk yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti," katanya dalam kenyataan perkembangan harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) hari ini.

Menurutnya, PKPD itu dilaksanakan setelah penilaian risiko dilakukan bersama pelbagai agensi dalam Jawatankuasa Teknikal Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan atas nasihat KKM.

Mengenai jumlah individu yang ditahan atas kesalahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) PKP, Ismail Sabri memaklumkan seramai 594 individu ditahan semalam, dengan 569 daripadanya dikompaun dan 25 individu direman.

Antara kesalahan yang paling banyak dikesan, katanya, ialah rentas daerah serta negeri tanpa kebenaran (127), tiada penjarakan fizikal (144), gagal menyediakan peralatan/merekod diri/pelanggan (74), tidak memakai pelitup muka (77) dan keluar rumah tanpa alasan munasabah (77).

Pada masa sama, beliau berkata seramai lima pendatang tanpa izin ditahan dalam Op Benteng di seluruh negara, manakala sebanyak tiga kenderaan darat dirampas.

Ismail Sabri turut memaklumkan seramai 8,983 warga asing telah menjalani ujian saringan COVID-19 semalam, dengan 37 daripadanya didapati positif COVID-19.

Menurutnya, secara kumulatif, Kementerian Sumber Manusia (KSM) memaklumkan, seramai 387,040 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan dengan 7,365 daripadanya disahkan positif COVID-19.




 

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED