Insiden tertukar bayi di Hospital Melaka disiasat - Exco
Astro Awani
22/2/2021
MELAKA: Jabatan Kesihatan Negeri Melaka melakukan siasatan dalaman melibatkan kes tertukar bayi lelaki di Hospital Melaka, minggu lalu.
Exco Kesihatan dan Antidadah Negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, siasatan itu bagi menentukan sama ada berlaku kecuaian petugas kesihatan atau sebaliknya.
Beliau berkata, buat masa ini perkara itu telah diselesaikan secara baik antara kedua-dua pihak membabitkan dua buah keluarga dengan pihak hospital.
Bagaimanapun memandangkan kes berkenaan tidak pernah berlaku di Melaka, tindakan tatatertib wajar dikenakan sekiranya benar berlaku kecuaian ekoran kes itu dianggap serius.
“Kes tu telah diselesaikan cara yang baik, kedua-dua keluarga pun menerima dengan baik. Bagi pihak kesihatan dan juga Kerajaan Negeri, saya juga telah memohon maaf pada kedua-dua keluarga dan mereka juga menerima dengan baik. Maka tak ada isu dan tempoh yang berlaku tak lama,” katanya kepada media di sini hari ini.
Terdahulu, menerusi status yang dimuat naik seorang wanita di laman Facebook miliknya memaklumkan bayi seberat 3.1 kilogram yang dilahirkan pada 12 Februari lalu itu tertukar dengan bayi lain dalam kejadian di Hospital Melaka.
Wanita berkenaan dilaporkan berkata, dia dibenarkan pulang pada 15 Februari lalu dengan bayi lelakinya terpaksa ditahan di wad hospital kerana demam kuning.
Bagaimanapun, pada 17 Februari lalu, ketika dia datang semula ke hospital untuk menyusukan bayinya, dia terkejut seorang lagi bayi lelaki yang diletakkan di katil bayi bukan anaknya, sebaliknya milik orang lain manakala bayinya pula sudah diambil orang lain selepas dibenarkan keluar wad pada waktu tengah hari, hari sama.
Bagaimanapun, pihak hospital berjaya menghubungi pemilik sebenar bayi di hospital berkenaan dan keduanya menukar semula bayi masing-masing.
Source: Astro AwaniFOR MORE NEWS GO TO:
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/insiden-tertukar-bayi-di-hospital-melaka-disiasat-exco-284209