Timbalan Menteri Luar adakan lawatan kerja ke Turkiye, Azerbaijan dari 10 hingga 16 April
Bernama
10/04/2025

Mohamad Alamin melakukan lawatan kerja ke Turkiye dan Azerbaijan dari 10 hingga 16 April, bagi menghadiri Antalya Diplomacy Forum (ADF) kali keempat dan mempengerusikan Sesi Rundingan Politik Malaysia-Azerbaijan kali kedua. - Gambar fail
PUTRAJAYA: Timbalan Menteri Luar Negeri, Datuk Mohamad Alamin melakukan lawatan kerja ke Turkiye dan Azerbaijan dari 10 hingga 16 April, bagi menghadiri Antalya Diplomacy Forum (ADF) kali keempat dan mempengerusikan Sesi Rundingan Politik Malaysia-Azerbaijan kali kedua.
Kementerian Luar Negeri dalam satu kenyataan memaklumkan, Mohamad akan menghadiri ADF di Antalya, Turkiye dari 10 hingga 13 April, dan beliau telah dijemput sebagai satu daripada ahli panel dalam sesi perbincangan bertajuk "ASEAN's Evolving Role at Regional and Global Levels".
"Semasa sesi ini, Timbalan Menteri Luar Negeri akan menekankan peranan utama Malaysia dalam memupuk kepercayaan dan kebersamaan dalam kalangan Negara Anggota ASEAN, selain turut terlibat secara konstruktif dengan kuasa besar global," menurut kenyataan itu.
Kementerian yang turut dikenali sebagai Wisma Putra menjelaskan, selaku Pengerusi ASEAN 2025, Malaysia komited untuk mendukung pemusatan ASEAN dan mengekalkan pendekatan berkecuali di tengah-tengah landskap global yang dinamik.
ADF merupakan forum tahunan anjuran Kementerian Luar Turkiye di bawah naungan Presiden Recep Tayyip Erdogan.
Di luar forum itu, Mohamad juga dijadual bertemu rakan sejawat dan pihak berkepentingan yang lain untuk membincangkan kerjasama dua hala dan bertukar-tukar pandangan mengenai isu-isu serantau dan antarabangsa.
Beliau kemudiannya akan mempengerusikan Rundingan Politik Kedua antara Malaysia dan Azerbaijan bersama rakan sejawatannya, Elnur Mammadov pada 15 April di Baku, Azerbaijan.
Kedua-dua pihak akan menilai keseluruhan hubungan dua hala dengan tujuan memperkukuhkan lagi kerjasama termasuk dalam bidang politik, ekonomi, konsular serta hubungan antara rakyat.
Perbincangan juga akan merangkumi isu-isu serantau dan global, dengan tujuan mengesahkan komitmen untuk meneruskan kerjasama dan rundingan antara kedua-dua negara, menurut Wisma Putra.
Perbincangan di Baku mencerminkan perkembangan positif hubungan dua hala, justeru kedua-dua pihak bertekad untuk memperkukuhkan kerjasama dalam bidang-bidang kepentingan bersama, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA