Nahas Padang Besar: Remaja 16 tahun meninggal dunia selepas 20 hari bertarung nyawa
Bernama
28/03/2025

Umar Haziq Rahimi. - Foto BERNAMA
KANGAR: Seorang remaja lelaki berusia 16 tahun yang terlibat dalam kemalangan tragis yang meragut nyawa bapanya, seorang pesara tentera, pada 7 Mac lalu berhampiran Padang Besar, meninggal dunia semalam, selepas 20 hari bertarung dengan kecederaan serius di Hospital Tuanku Fauziah (HTF).
Ketua Polis Daerah Padang Besar ACP Mohd Shokri Abdullah berkata Umar Haziq Rahimi, disahkan meninggal dunia oleh doktor pada pukul 4.30 petang akibat 'Severe Traumatic Brain Injury with Polytrauma'.
"Pihak polis menerima panggilan daripada pihak hospital pada pukul 5.17 petang memaklumkan bahawa mangsa, yang telah dirawat selama 20 hari di HTF, telah meninggal dunia," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Pada 8 Mac lepas, media melaporkan seorang pesara tentera maut manakala anak lelakinya cedera parah apabila motosikal yang mereka naiki dirempuh sebuah kereta Honda Civic di Jalan Dato Kayaman, Beseri, pada 7 Mac.
Timbalan Ketua Polis Daerah Padang Besar Supt Sarih Salleh berkata kejadian berlaku sekitar 7.45 malam dan mangsa berusia 49 tahun disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian, manakala anaknya yang merupakan pembonceng motosikal dibawa ke HTF untuk menerima rawatan.
Sarih berkata pemandu lelaki Honda Civic, yang berusia 33 tahun, turut mengalami kecederaan parah dan sedang menerima rawatan di HTF.
-- BERNAMA