Translate

15 October 2024

Serangan seksual remaja lelaki 16 tahun antara enam saman baharu ke atas Sean ‘Diddy’ Combs



Serangan seksual remaja lelaki 16 tahun antara enam saman baharu ke atas Sean ‘Diddy’ Combs

Agensi

15/10/2024


Enam saman baharu difailkan terhadap Sean ‘Diddy’Combs yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap lelaki, wanita dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun. - Gambar fail AP



NEW YORK: Sekurang-kurangnya enam saman baharu difailkan pada Isnin terhadap pemuzik dan penerbit terkenal antarabangsa, Sean ‘Diddy’Combs yang didakwa melakukan serangan seksual terhadap lelaki, wanita dan seorang remaja lelaki berusia 16 tahun.

Kesemua enam tuntutan saman itu difailkan di Mahkamah Persekutuan New York oleh dua wanita dan empat lelaki.

Tuduhan tersebut meliputi insiden yang berlaku antara 1995 hingga 2021.

Saman-saman yang difail tanpa naman itu mendakwa, beberapa serangan berlaku di parti-parti anjuran rapper popular Hollywood itu termasuk yang dihadiri oleh selebriti dan artis muzik terkenal.

Salah satu daripada saman baharu mendakwa, seorang remaja lelaki berkata, dia hanya berusia 16 tahun ketika dia menghadiri salah satu parti di Hamptons pada 1998.

Ketika itu, dia dan Combs sedang berbual mengenai hasratnya untuk menyertai industri muzik apabila dakwaan serangan itu berlaku.

Tuntutan itu termasuk gambar kedua-dua mereka di pesta berkenaan dengan wajah remaja itu dikaburkan.

Bahkan, remaja itu turut mendakwa, semasa perbualan mereka, Combs secara tiba-tiba mengarahkannya untuk menanggalkan pakaian.

Combs sebelum ini telah menafikan semua dakwaan sivil dan jenayah terhadapnya.

Satu lagi tuntutan mahkamah yang difailkan pada Isnin termasuk dakwaan oleh seorang wanita yang mendakwa Combs merogolnya di bilik hotel pada 2004.

Ketika kejadian, dia merupakan seorang pelajar kolej dan berusia 19 tahun.

Menurut tuntutan itu, mangsa mendakwa bertemu mogul muzik itu pada satu sesi penggambaran sebelum dia dan rakannya dijemput menghadiri parti peribadi di hotel penginapan Combs.

Sebaik sahaja tiba di parti berkenaan, mangsa mendakwa, Combs "merayu, mencabul dan akhirnya merogolnya" walaupun dia berulang kali memintanya berhenti daripada melakukannya.

Peguam yang berpangkalan di Texas, Tony Buzbee, yang mewakili mangsa berkata, beliau mewakili lebih 100 orang yang merancang untuk menyaman penyanyi rap itu atas dakwaan serangan seksual, rogol dan eksploitasi seksual.

Kata Buzbee, beberapa mangsa termasuk kanak-kanak.

Combs dan pasukan undang-undangnya tidak memberikan sebarang komen mengeai dakwaan terbaharu itu. - Agensi

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED