Translate

19 September 2024

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba di China untuk Lawatan Negara selama empat hari.


 Agong berangkat tiba di China untuk Lawatan Negara

Bernama

19/09/2024 


BEIJING: Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berangkat tiba di China untuk Lawatan Negara selama empat hari.

Ringkasan AI

Ini adalah lawatan pertama Sultan Ibrahim ke China sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17, atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Lawatan ini mencerminkan hubungan dua hala yang kukuh antara Malaysia dan China, yang telah berkembang pesat sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.

Sultan Ibrahim akan menghadiri sambutan negara di Great Hall of the People, bertemu dengan Presiden Xi Jinping dan Perdana Menteri Li Qiang, serta meninjau perkembangan teknologi penerbangan di Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing COMAC.


Lawatan pertama Seri Paduka Baginda ke republik itu selepas menaiki takhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-17 pada 31 Jan, adalah atas jemputan Presiden Xi Jinping.

Pesawat khas yang membawa Sultan Ibrahim dari Pangkalan Udara Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, Selangor pagi tadi selamat mendarat di Terminal Rasmi, Lapangan Terbang Antarabangsa Ibu Kota Beijing di sini pada 3.30 petang.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda disambut Naib Menteri Luar China Sun Weidong, Duta Besar China ke Malaysia Ouyang Yujing, Duta Besar Malaysia ke China Datuk Norman Muhamad dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar Datuk Seri Amran Mohamed Zain.

Sultan Ibrahim kemudian menerima penghormatan daripada kawalan kehormat anggota Angkatan Tentera Rakyat China.

Mengiringi Yang di-Pertuan Agong dalam lawatan itu ialah Menteri Pengangkutan Anthony Loke, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming dan pegawai kanan lain.

Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Sultan Ibrahim yang berangkat tiba di lapangan terbang itu menaiki pesawat berlainan kira-kira 3 petang turut mengiringi Sultan Ibrahim dalam lawatan berkenaan.

Kunjungan Yang di-Pertuan Agong ini mencerminkan keutuhan hubungan dua hala antara Malaysia dengan China yang kian berkembang pesat sejak dinaik taraf kepada Kerjasama Strategik Komprehensif pada 2013.

Semasa lawatan berkenaan, Sultan Ibrahim akan menerima sambutan negara di Great Hall of the People di Beijing, diikuti dengan pertemuan bersama Xi serta menghadiri Majlis Santapan Negara yang akan diraikan oleh Presiden China itu.

Yang di-Pertuan Agong turut berkenan menerima menghadap Perdana Menteri China Li Qiang, selain Seri Paduka Baginda dijadualkan berangkat ke Pusat Penyelidikan Teknologi Pesawat Awam Beijing COMAC bagi meninjau perkembangan teknologi penerbangan China yang terkini.

Sultan Ibrahim turut dijadualkan bertemu dengan diaspora Malaysia di China serta berkenan menamakan semula Kursi Pengajian Melayu di Beijing Foreign Studies University bersempena dengan nama Seri Paduka Baginda sebagai satu penghormatan kepada Yang di-Pertuan Agong.

Lawatan Negara ini adalah bersempena dengan ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik antara Malaysia dengan China.

Terdahulu, pada sidang media, Norman berkata China amat mengalu-alukan lawatan oleh Seri Paduka Baginda.

Beliau berkata lawatan ini merupakan kunjungan pertama Yang di-Pertuan Agong selepas 10 tahun, detik yang dinanti-nantikan kedua-dua negara yang menyambut ulang tahun ke-50 hubungan diplomatik tahun ini.

Lawatan ini ialah yang kedua oleh Seri Paduka Baginda, dengan lawatan pertama adalah ke Singapura pada 6 Mei lepas atas jemputan Presiden Singapura Tharman Shanmugaratnam.

-- BERNAMA






Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED