Translate

09 September 2024

Imigresen tumpas sindiket pemalsuan dokumen dan cop palsu didalangi warga Pakistan - Ruslin



Imigresen tumpas sindiket pemalsuan dokumen dan cop palsu didalangi warga Pakistan - Ruslin

Bernama

09/09/2024



Ruslin berkata pihaknya telah berjaya menahan seorang warga Pakistan dikenali sebagai Azhar yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket itu di Jalan Raja, Kuala Lumpur. - Foto Bernama

PUTRAJAYA: Jabatan Imigresen (JIM) berjaya menumpaskan satu sindiket pemalsuan dokumen dan cop palsu pada 5 dan 6 Sept lepas yang didalangi warga Pakistan dan bergiat aktif di sekitar Lembah Klang sejak awal tahun ini.

Ketua Pengarah Imigresen Datuk Ruslin Jusoh berkata susulan penahanan seorang lelaki warga Pakistan dan seorang wanita warga India di Subang Jaya, Selangor, pihaknya telah berjaya menahan seorang lagi lelaki warga Pakistan dikenali sebagai Azhar yang dipercayai menjadi dalang utama sindiket itu di Jalan Raja, Kuala Lumpur pada hari berkenaan.

Beliau berkata susulan soal siasat pasukan operasi menyerbu sebuah premis kediaman di Jalan Desa Bakti, Sungai Besi dan merampas 50 keping pas lawatan kerja sementara (PLKS) palsu, 28 cop keselamatan keluar masuk ke negara palsu, 16 pasport pelbagai negara serta masing-masing satu komputer riba, mesin cetak, pencetak gambar, pelekat hologram, MyKad palsu dan lesen memandu Malaysia palsu.

"Semua mereka yang berusia antara 44 dan 50 tahun ini kini ditahan selama 14 hari bermula 6 Sept lepas di Depoh Imigresen Bukit Jalil.

"Semakan awal mendapati dua lelaki warga Pakistan ini memiliki PLKS yang masih sah laku manakala wanita warga India telah tinggal lebih masa di Malaysia," katanya pada sidang media mengenai Operasi Khas Imigresen di sini hari ini.

Kes disiasat di bawah Seksyen 55D, Seksyen 56 (1) (I) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 12 (1)(f) Akta Pasport 1966 dan Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Ruslin berkata modus operandi sindiket adalah menawarkan perkhidmatan penyediaan dokumen kepada warga asing dari negara sumber yang tiada dokumen perjalanan ke negara ini serta telah tamat tempoh melalui media sosial.

Beliau berkata kadar bayaran antara RM100 dan RM300 dikenakan untuk cop keselamatan, pelekat PLKS antara RM150 dan RM300, lesen kenderaan Pakistan antara RM100 dan RM200 serta pas khas antara RM800 dan RM1,000.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED