7 cedera selepas penerbangan Scoot ke Guangzhou dilanda gelora
Bernama
07/09/2024
Empat penumpang dan tiga kru cedera selepas sebuah penerbangan Scoot dari Singapura ke Guangzhou, China dilanda gelora udara pada pagi Jumaat
SINGAPURA: Empat penumpang dan tiga kru cedera selepas sebuah penerbangan Scoot dari Singapura ke Guangzhou, China dilanda gelora udara pada pagi Jumaat, lapor media tempatan.
Menurut laporan Straits Times (ST) memetik anak syarikat tambang rendah Singapore Airlines itu, seorang penumpang dimasukkan ke hospital untuk pemerhatian lanjut setakat 8.30 malam Jumaat waktu tempatan.
Dalam kejadian itu, pesawat Boeing 787-9 Dreamliner mengalami gelora udara ketika menghampiri Guangzhou, sebelum mendarat dengan selamat pada 9.10 pagi.
Scoot memaklumkan bahawa keutamaannya adalah kesejahteraan penumpang dan kru kabin serta akan memberikan segala sokongan dan bantuan yang diperlukan. - BERNAMA