Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menafikan kenyataan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain bahawa beliau tidak dapat dihubungi sehingga memaksa polis membuat tangkapan terhadapnya pada jam 3 pagi.
Menurutnya, beliau telah berkomunikasi dengan seorang pegawai dari Bukit Aman menerusi aplikasi WhatsApp sekitar jam 10 malam pada Isnin.
Tambah Sanusi, kesemua tangkap layar mengenai perbualan berkenaan telah dihantar kepada seorang lagi pegawai atasan Bukit Aman semalam.
"(Pegawai polis) call, memang ada call pegawai (saya) apa semua, tetapi saya ada tiga meeting hari tu.
"Tengah meeting, pegawai itu WhatsApp saya... saya tanya siapa, dia bagi tahu Bukit Aman.
"Dia kata hendak ambil lagi keterangan... saya kata keterangan apa lagi... (dia balas) hendak sambung lagi.
"Saya tanya direct, (polis) mahu buat tangkapan? Dia kata nak ambil keterangan. Dia dok tahan (tidak berikan jawapan) macam itu saja.
"Saya kata kalau hendak tangkap, beritahu betul-betul sebab saya sebolehnya tidak mahu ditangkap kerana saya warganegara yang baik.
"Saya sentiasa beri kerjasama (dengan pihak) polis; saya tidak akan lari pun.
"(Pegawai polis yang WhatsApp saya) tetap nak suruh saya hadir (untuk ambil keterangan), saya kata tidak apa (sebab) saya sudah habis, saya nak rehat, (dan akhir sekali) pukul 2.30 pagi dia ketuk pintu.
"Perbualan yang terakhir itu mungkin pukul 12 atau 12.30 pagi. Saya WhatsApp kepada (seorang) pegawai kanan polis, saya tidak (mahu) sebut nama.
"(Saya mesej), 'Datuk Seri, tolong jangan buat tangkapan malam ini kerana esok saya akan hadir ke Mahkamah Sesyen Selayang.
"'Proses siasatan lanjut boleh buat selepas itu. Sekarang ini sudah terlalu tengah malam, saya daripada pagi tidak rehat.
"Takkan nak sambung keterangan (dalam keadaan) macam ini, kita jumpa kat mahkamah esok'," katanya lagi.
Tambahnya, beliau kemudian dibawa ke Balai Polis Gombak untuk memberikan keterangan mengenai kenyataan dalam program Podcast Keluar Sekejap berhubung isu rasuah yang mengaitkan orang bukan Islam.
Muhammad Sanusi berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Sambutan Maal Hijrah Peringkat Negeri Kedah di Raia Hotel, Alor Setar pada Rabu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jeneri itu berkata beliau terpaksa memberi penjelasan mengenai perkara itu selepas menyedari tiada pembetulan atau sebarang perubahan mengenai kenyataan Ketua Polis Negara dibuat sehingga hari ini.
Semalam, Menteri Besar Kedah itu didakwa enggan memberikan kerjasama kepada polis menyebabkan beliau ditahan awal pagi Selasa.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata cubaan pihaknya menghubungi Muhammad Sanusi untuk memaklumkan beliau agar hadir ke Mahkamah Selayang pada Selasa, gagal.
ASTRO AWANI