KPDN rampas barangan tiruan bernilai RM250,000 di Jalan Petaling
Bernama
Julai 21, 2023 14:47 MYT
Ariffin (tiga, kiri) berkata dua lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan pemilik premis turut ditahan dalam serbuan hasil risikan selama dua minggu itu. - Gambar/ Bernama
KPDN rampas barangan tiruan bernilai RM250,000 di Jalan Petaling
Ariffin (tiga, kiri) berkata dua lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan pemilik premis turut ditahan dalam serbuan hasil risikan selama dua minggu itu. - Gambar/ Bernama
KUALA LUMPUR: Sebanyak 2,505 unit barangan tiruan bernilai RM250,000 dirampas di sembilan premis melibatkan enam stor dan tiga gerai di Jalan Petaling di sini dalam operasi Ops PUTRA 3.0 pada Selasa lepas.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kuala Lumpur Ariffin Samsudin berkata dua lelaki dan seorang wanita tempatan yang merupakan pemilik premis turut ditahan dalam serbuan hasil risikan selama dua minggu itu.
Beliau berkata kesemua barangan tersebut dipercayai diperoleh dari negara asing dan bagi jualan kepada pelancong yang datang ke Jalan Petaling.
"Kesemua barangan yang disita ini adalah barangan tiruan yang berkualiti tinggi dan harga jualan bermula pada harga RM400 sehingga RM4,000 bagi seunit termasuk jam tangan, beg tangan, dompet, gelang serta cincin," katanya dalam sidang media di stor KPDN Segambut di sini, hari ini.
Menurutnya kes itu disiasat mengikut Akta Cap Dagangan 2019 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM15,000 bagi setiap barangan bagi kesalahan pertama dan RM30,000 bagi setiap barangan untuk kesalahan yang kedua serta berikutnya.
Ariffin berkata pihaknya akan terus mempergiatkan aktiviti penguatkuasaan undang-undang harta intelek di bawah Akta Cap Dagangan 2019, Akta Perihal Dagangan 2011 dan Akta Hak Cipta 1987 secara berterusan dalam membanteras penjualan barangan tiruan.
Dalam pada itu, beliau berkata 79 kes harta intelek dengan nilai rampasan berjumlah RM2.5 juta melibatkan sitaan 48,500 unit barangan dibuat di ibu negara setakat ini.
"Jumlah tangkapan di bawah Ops Jeriji 4.0 bagi tahun 2023 adalah 19 orang melibatkan kesalahan berkaitan harta intelek," katanya.
-- BERNAMA