Translate

26 July 2023

Klang dinaik taraf sebagai bandar raya - Nga



Klang dinaik taraf sebagai bandar raya - Nga

Bernama

Julai 26, 2023 16:03 MYT




Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (dua, kanan) melawat pameran pada Program Sentuhan Kasih Bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Dewan Hamzah, MPK hari ini. - Foto BERNAMA

Klang dinaik taraf sebagai bandar raya - Nga

Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming (dua, kanan) melawat pameran pada Program Sentuhan Kasih Bersama Majlis Perbandaran Klang (MPK) di Dewan Hamzah, MPK hari ini. - Foto BERNAMA

KLANG: Klang akan menjadi bandar raya selepas kerajaan semalam bersetuju dan meluluskan cadangan bagi menaik taraf Majlis Perbandaran Klang (MPK) kepada status Majlis Bandaraya Klang, kata Menteri Pembangunan Kerajaan Tempatan (KPKT) Nga Kor Ming.

Beliau berkata keputusan yang dicapai menerusi Mesyuarat Jemaah Menteri itu bakal menyaksikan MPK sebagai pihak berkuasa tempatan (PBT) keempat berstatus bandar raya di Selangor selepas Majlis Bandaraya Subang Jaya, Majlis Bandaraya Shah Alam dan Majlis Bandaraya Petaling Jaya.

"MPK telah ditubuhkan sejak 1890 dan kini telah memenuhi semua kriteria bagi mencapai status bandar raya pada usia 133 tahun. MPK berupaya menyediakan antaranya perkhidmatan yang cemerlang, kemudahan infrastruktur dan utiliti awam yang terbaik serta berkeupayaan membentuk jenama bandar raya yang unik serta berimejkan bandar warisan dan sejarah.



"Penaiktarafan (Klang) sebagai bandar raya ke-20 itu (seluruh negara) bermaksud MPK mempunyai kekuatan kewangan yang mampan untuk menyediakan perkhidmatan perbandaran yang cekap, berkualiti serta bertaraf antarabangsa bagi meningkatkan daya huni dan kesejahteraan rakyat di Klang," katanya kepada pemberita sempena Program Sentuhan Kasih KPKT di sini hari ini.

Nga berkata pengisytiharan Klang sebagai bandar raya akan dilakukan dalam satu majlis selepas mendapat perkenan Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Selaras dengan pengumuman penaiktarafan itu, Nga berkata kementeriannya menerusi Program Sentuhan Kasih KPKT turut meluluskan sebanyak 21 projek berjumlah RM5 juta bagi menaik taraf kemudahan awam sekitar PBT tersebut, yang akan bermula dalam kadar segera dan dijangka siap menjelang akhir tahun ini.

"Peruntukan akan melibatkan proses naik taraf kemudahan awam antaranya Pasar Pelabuhan Klang, gerai-gerai di kawasan Pelabuhan Klang, Jalan Goh Hock Huat atau Jalan Keretapi Lama serta laluan pejalan kaki dan basikal di Jambatan Kota, Klang," katanya.

Sementara itu, Yang Dipertua MPK Noraini Roslan berkata pihaknya telah menyediakan logo dan bendera baharu yang kini dalam proses untuk dimuktamadkan.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED