JAINJ, MCMC kerjasama bendung penyebaran ajaran sesat SiHulk
Bernama
Julai 20, 2023 17:17 MYT
Mohd Fared menunjukkan akaun Facebook, ajaran sesat Suhaini Muhammad atau 'SiHulk', pada sidang media di Kompleks Islam Iskandar hari ini. - Foto BERNAMA
JAINJ, MCMC kerjasama bendung penyebaran ajaran sesat SiHulk
Mohd Fared menunjukkan akaun Facebook, ajaran sesat Suhaini Muhammad atau 'SiHulk', pada sidang media di Kompleks Islam Iskandar hari ini. - Foto BERNAMA
JOHOR BAHRU: Kerajaan negeri menerusi Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) akan bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) bagi membendung segera penyebaran ajaran sesat Suhaini Muhammad atau SiHulk di negeri ini.
Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam negeri Mohd Fared Mohd Khalid berkata perkara itu telah diputuskan dalam mesyuarat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ) hari ini dan tindakan lanjut akan dilakukan dalam masa terdekat.
Beliau berkata langkah itu diambil susulan beberapa video yang tular menerusi media sosial baru-baru ini melibatkan beberapa individu mengaku sebagai pengikut ajaran sesat itu, dipercayai berada di New Zealand, sekali gus menyukarkan tindakan penguatkuasaan diambil terhadap individu terlibat.
"Siasatan mendapati video dimuat naik dari New Zealand, maka jika ia disebarkan dan dimuat naik di luar negara, ia di luar bidang kuasa kerajaan negeri dan kita tidak boleh mengambil tindakan ke atas mereka secara perundangan, itu kesulitan yang perlu difahami.
"Kalau tidak boleh ditangkap secara realiti, kita tangkap mereka melalui media iaitu bekerjasama dengan MCMC termasuk menghalang penglibatan mereka di media sosial dan paling penting, masyarakat perlu berikan maklumat kepada JAINJ dan kita akan salurkan kepada MCMC untuk tindakan lanjut," katanya pada sidang media di sini hari ini.
Mohd Fared berkata di Johor, ajaran itu telah difatwakan sesat sejak 22 Julai 2021 kerana didapati menyeleweng dan bertentangan dengan akidah, syariat serta akhlak Islam, sekali gus semua aktiviti yang berkaitan dengannya termasuk perniagaan dan perkhidmatan adalah dilarang dan difatwakan haram.
"Pengasas dan juga pengikut ajaran ini sebenarnya pengecut, mereka hanya berani mengeluarkan kenyataan setelah tidak berada dalam negara. Apabila ajaran-ajarannya pelik dan tidak logik, adalah lebih baik untuk dijauhi.
"Sehubungan itu, orang awam diminta untuk tidak terlibat secara langsung atau tidak langsung dengan mana-mana individu atau apa-apa aktiviti dijalankan pihak berkenaan," katanya sambil menambah sekiranya mereka pulang ke negeri ini, tangkapan boleh dibuat mengikut lunas undang-undang sedia ada.
Berhubung aktiviti perniagaan melibatkan air minuman SiHulk yang dijalankan pengasas dan pengikut ajaran itu, Mohd Fared memaklumkan kilang minuman itu yang berada di Johor, Selangor dan Indonesia sebelum ini, telah pun ditutup selepas sijil halal mereka ditarik semula pada 3 Jun 2021 kerana tidak mematuhi piawaian ditetapkan.
"Sekiranya produk berkenaan masih berada dalam pasaran, pemilik premis diminta untuk menghentikan jualan produk-produk berkenaan kerana ia menyokong aktiviti ajaran sesat itu," katanya.
-- BERNAMA