Salahuddin alami pendarahan otak, sedang jalani pembedahan - Setiausaha Akhbar
Bernama
Julai 22, 2023 08:37 MYT
Datuk Seri Salahuddin Ayub, Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup. - Gambar fail/Astro AWANI
KUALA LUMPUR: Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Seri Salahuddin Ayub telah disahkan mengalami pendarahan otak oleh doktor pakar, kata Setiausaha Akhbar Menteri Nur Syakirin Husnal.
Menerusi kenyataan pagi ini, beliau berkata Salahuddin kini sedang menjalani pembedahan di Hospital Sultanah Bahiyah, Alor Setar, Kedah.
"Pihak keluarga Datuk Seri Salahuddin Ayub mengucapkan terima kasih atas semua doa, sokongan dan ingatan kepada beliau," katanya.
Semalam, Salahuddin dikejarkan ke hospital berkenaan untuk mendapatkan rawatan pada pukul 10.15 malam selepas mengalami mual dan muntah-muntah.
Sebarang perkembangan mengenai kesihatan Salahuddin akan dimaklumkan dari semasa ke semasa, menurut kenyataan itu.
-- BERNAMA
-- BERNAMA