Translate

12 July 2023

PRN: Kerajaan Perpaduan telah muktamadkan pembahagian kerusi di enam negeri - Anwar






PRN: Kerajaan Perpaduan telah muktamadkan pembahagian kerusi di enam negeri - Anwar

Bernama

Julai 11, 2023
Perkara itu disahkan Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut malam ini. - Gambar Bernama

PRN: Kerajaan Perpaduan telah muktamadkan pembahagian kerusi di enam negeri - Anwar

Perkara itu disahkan Anwar selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut malam ini. - Gambar Bernama

KUALA LUMPUR: Majlis Perundingan Pimpinan Kerajaan Perpaduan telah memuktamadkan pembahagian kerusi di enam negeri bagi menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) pada 12 Ogos ini.

Perkara itu disahkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mempengerusikan mesyuarat tersebut malam ini.

"(Pembahagian kerusi) telah dimuktamadkan di semua negeri, ada satu dan dua negeri sahaja (yang ada persoalan) kita akan bincang dan malam ini selesai.



"Pengumuman calon (bagi PRN) dalam dua ke tiga hari lagi kita bagi tarikh," katanya kepada pemberita selepas mesyuarat itu yang diadakan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL) di sini.

Turut hadir beberapa pemimpin utama Kerajaan Perpaduan iaitu Pengerusi Barisan Nasional (BN) yang juga Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Ketua Whip Gabungan Parti Sarawak (GPS) Datuk Seri Fadillah Yusof dan Presiden Parti Amanah Negara Datuk Seri Mohamad Sabu.

Perdana Menteri berkata 'Perpaduan Demi Kestabilan dan Kemakmuran' adalah tema yang akan digunakan oleh parti-parti dalam Kerajaan Perpaduan bagi menghadapi PRN tersebut.

Bagaimanapun, beliau berkata setiap negeri yang terlibat dengan PRN boleh membuat slogan tambahan manakala manifesto pilihan raya juga akan ditetapkan oleh pimpinan negeri masing-masing.

"Kita berbincang soal gerak kerja dan strategi dalam menghadapi PRN di enam negeri dan kita berpuas hati. Nampak semangat pendukung setia dapat dilonjakkan dan saya percaya berdasarkan laporan, kita bukan saja boleh bertahan di tiga negeri tapi nampak satu keyakinan untuk menawan beberapa negeri lain," katanya.

Anwar berkata mesyuarat juga bersetuju keutuhan Kerajaan Perpaduan terus diperkukuh supaya dapat memacu pertumbuhan ekonomi selain menjamin kemakmuran dan kesejahteraan rakyat.

"Saya sangat terharu dan bangga dengan kenyataan daripada pimpinan menyatakan kesediaan mereka untuk terus memperkukuh dan mengelak desas-desus daripada golongan terdesak menggunakan sentimen perkauman yang sempit atau agama secara melulu serta jumud dan kemudian memberikan gambaran seolah-olah akan ada perubahan (kerajaan).

"Apa yang disebut di sini yang mewakili majoriti besar Ahli-Ahli Parlimen ialah tetap dengan pengukuhan Kerajaan Perpaduan sehingga selesai dan tamat selama lima tahun," katanya.

Perdana Menteri juga berkata Jelajah Perpaduan MADANI dan pelancaran jentera perpaduan akan diteruskan di Kedah pada 15 Julai diikuti Pulau Pinang (16 Julai), Kelantan (23 Julai), Negeri Sembilan (27 Julai) dan Terengganu (28 Julai).

Mesyuarat malam ini turut disertai Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor, Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg, Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP) Datuk Seri Tiong King Sing, Presiden Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS) Datuk Arthur Joseph Kurup dan Setiausaha Agung PKR Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail.

-- BERNAMA







Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED