Translate

07 May 2023

Sukan SEA: Kemboja kejutkan Malaysia dalam Kriket "rampas' emas 50-overs lelaki

 Kriket Sukan SEA: Kemboja kejutkan Malaysia, 'rampas' emas 50-overs lelaki

Bernama

Mei 7, 2023 


Kriket Sukan SEA: Kemboja kejutkan Malaysia, 'rampas' emas 50-overs lelaki
Aksi skuad kriket lelaki negara pada perlawanan akhir kategori T50 menentang pasukan Kemboja pada Sukan SEA 2023 di AZ Group Cricket Oval hari ini. Malaysia tewas kepada Kemboja dengan 89 larian. - Foto BERNAMA

Kriket Sukan SEA: Kemboja kejutkan Malaysia, 'rampas' emas 50-overs lelaki

Aksi skuad kriket lelaki negara pada perlawanan akhir kategori T50 menentang pasukan Kemboja pada Sukan SEA 2023 di AZ Group Cricket Oval hari ini. Malaysia tewas kepada Kemboja dengan 89 larian. - Foto BERNAMA

PHNOM PENH: Kenyataan yang sukar ditelan skuad kriket lelaki negara apabila mereka gagal mempertahankan emas acara 50-overs pada Sukan SEA 2023 selepas tewas kepada Kemboja dengan 89 larian, di sini, hari ini.

Diperkukuh dengan beberapa import daripada India dan Pakistan, pasukan tuan rumah yang menang lambungan duit syiling dan memilih untuk memukul, melakukan 334 larian dalam 50 overs pada inning pertama, yang menyaksikan Ram Raushan Sharan membuat larian melebihi 100 dengan 111 larian di AZ Group Cricket Oval.

Pada inning kedua, kapten Malaysia Ahmad Faiz Mohamad Noor mencatatkan 78 larian, namun ia tidak cukup untuk membantu pasukan negara mengatasi lawan apabila mereka menamatkan perlawanan itu, yang berlangsung hampir tujuh jam, dengan 254 larian dalam 40.1 overs.



Mengulas pertembungan itu, Ahmad Faiz hampa dengan persembahan hari ini memandangkan mereka terlepas peluang untuk mempertahan emas bagi Malaysia.

"Satu kekalahan yang agak buruk dan sangat mendukacitakan, boleh dikatakan prestasi kita ketika membaling agak teruk sehingga lepaskan 334 larian kepada Kemboja, di mana kita tahu pemain mereka tunjuk prestasi baik di final.

"Kita memang dah jangka dengan persembahan pemain Kemboja kerana terdapat beberapa pemain import mereka pernah main di peringkat tertinggi sebelum ini, jadi pujian kepada tuan rumah kerana menampilkan prestasi menonjol daripada kita," katanya kepada Bernama ketika ditemui selepas perlawanan.

Ditanya sama ada pasukannya akan membantah taktik tuan rumah menggunakan pemain import, pemain berpengalaman berusia 35 tahun itu berkata perkara itu adalah di luar kawalan mereka.

Justeru, beliau berazam untuk menebus kekalahan itu dengan beraksi lebih baik untuk meraih emas dalam final kedua mereka, iaitu dalam acara T20 menentang juara Kumpulan B, Khamis ini.

Malaysia muncul juara pertama 50-overs ketika julung kali kriket dipertandingkan di temasya dwitahunan itu pada Kuala Lumpur 2017, sebelum diadakan semula dalam edisi kali ini.

Khamis lepas, pemain negara menumpaskan Thailand dengan lapan wiket untuk mengungguli Kumpulan A berbekalkan empat mata dalam saingan T20.

Sementara itu, Thailand mengatasi Indonesia dengan tiga wiket untuk membawa pulang gangsa 50-overs semalam.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED