KPN akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi projek pembaikan |
KPN sedia agih peruntukan RM20 juta bagi kerja baik pulih rumah ibadat selain Islam
BERNAMA
PUTRAJAYA, 25 Mei -- Kementerian Perpaduan Negara (KPN) akan menyalurkan peruntukan berjumlah RM20 juta bagi projek pembaikan, penyelenggaraan dan kerja-kerja kecemasan di rumah ibadat selain Islam.
Menteri berkenaan Datuk Halimah Mohamed Sadique dalam kenyataan hari ini memaklumkan bantuan itu akan disalurkan kepada rumah ibadat selain Islam yang mengemukakan permohonan berdasarkan pertimbangan nilai kerja ditetapkan.
Nilai kerja yang ditetapkan ialah kerja-kerja sivil tidak melebihi RM100,000 seperti membaiki struktur bangunan, lantai jubin, siling bumbung, pagar, parit atau mengecat; kerja pendawaian elektrik tidak melebihi RM50,000 seperti menyelenggara pendawaian elektrik, membaiki kotak fius elektrik, membaiki lampu, kipas dan kamera CCTV; dan kerja-kerja mekanikal tidak melebihi RM50,000 seperti membaiki pendingin hawa, membaiki lif atau sistem pam tangki air.
Beliau berkata KPN telah menyediakan garis panduan dan tatacara permohonan peruntukan di bawah Program Bantuan Kewangan Pembaikan, Penyelenggaraan dan Kerja-Kerja Kecemasan di Rumah Ibadat Selain Islam untuk memastikan proses penyaluran bantuan itu berjalan dengan telus serta lancar.
"Pihak Pengurusan Rumah-Rumah Ibadat Selain Islam boleh mendapatkan borang permohonan dan maklumat mengenai tatacara permohonan ini dalam portal rasmi KPN serta memanjangkan permohonan terus kepada kementerian mengikut proses yang telah ditetapkan," katanya.
Dalam Belanjawan 2021, kerajaan telah meluluskan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi projek pembaikan (baik pulih), penyelenggaraan dan kerja-kerja kecemasan di rumah ibadat selain Islam.