Harian Metro
20/1/21
Polis menumpaskan satu sindiket pengedaran dadah dengan menahan enam lelaki tempatan serta merampas dadah bernilai lebih RM11 juta, Jumaat lalu.
Timbalan Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Yong Lei Choo berkata, pihaknya membuat enam serbuan di Lembah Klang selain di utara dan selatan Semenanjung bermula jam 3.10 petang.
Dalam serbuan itu, polis menahan enam lelaki tempatan berusia 29 hingga 58 tahun yang dipercayai terbabit dengan kegiatan berkenaan.
Polis menemui 100.92 kilogram ketamin dan 59.995 kilogram 'base' heroin bernilai RM11 juta yang boleh dibekalkan kepada 636,375 penagih dalam sebuah kenderaan di kawasan parkir kereta di Kuala Lumpur.
Turut dirampas enam kenderaan pelbagai jenis, 21 barang kemas, dua jam tangan berjenama dan wang tunai berjumlah RM423,829 menjadikan jumlah keseluruhan sitaan RM937,329.
Source: Harian Metro YouTube