MKL Crimedesk
20/1/21
Polis Kuala Lumpur menumpaskan sindiket judi dalam talian selepas menggempur empat unit kondominium mewah di Persiaran KLCC dipercayai dijadikan pusat panggilan malam tadi.
Serbuan berhasil melalui risikan pasukan D7 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur.
Sekurang kurangnya 32 individu warga China dan tempatan termasuk 19 wanita diberkas.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Kuala Lumpur, Senior Asisten Komisioner Saiful Annuar Yusof berkata, tangkapan membabitkan penjaga premis dan operator.
Ketika premis diserbu serentak jam 7 malam tadi... kesemua mereka didapati sedang ligat beroperasi melakukan perjudian dalam talian.
Modus operandi sindiket itu adalah dengan mempromosikan judi dalam talian kepada warganegara China.
Setiap unit kondominium itu dipercayai turut menjadi tempat tinggal pekerja.
Turut dirampas, pelbagai barangan komunikasi, laptop, komputer serta sejumlah wang tunai pelbagai not.
Kesemua yang ditangkap dibawa ke IPK Kuala Lumpur untuk proses dokumentasi.
Kes disiasat mengikut Seksyen 4 (1) (c) dan (g) Akta Rumah Judi Terbuka 1953, Seksyen 6 (1) (c) Akta Imigresen.