Astro Awani
KUALA LUMPUR: Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) akan dilaksanakan di Pusat Transit Tahanan (PTP) melibatkan Blok Pusat Latihan Pegawai Penjara, Zon 2 dan Zon 3 Penjara Marang dan di Pusat Koreksional Dungun serta kuarters kakitangan bermula 28 Januari 2021 sehingga 10 Februari 2021.
Menteri Kanan Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, ia memudahkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) melaksanakan saringan secara bersasar ke atas semua yang terlibat untuk memastikan tiada penularan jangkitan dalam komuniti.
"Sehingga 26 Januari 2021, KKM telah melaksanakan 1,262 ujian saringan di Penjara Marang dan daripada jumlah itu sebanyak 98 kes positif COVID-19 telah direkodkan. Walau bagaimanapun, kesemua kes positif ini hanya melibatkan tahanan yang ditempatkan di Pusat Transit Tahanan (PTP).
"Sementara di Pusat Koreksional Dungun, sehingga 26 Januari 2021, KKM telah melaksanakan 1102 ujian saringan dan daripada jumlah itu sebanyak 99 kes positif COVID-19 telah direkodkan yang melibatkan 92 tahanan, dua kakitangan dan lima kontak rapat.
"SOP PKPD di penjara ini juga sama seperti yang diumumkan sebelum ini termasuk pergerakan keluar masuk dan lawatan oleh ahli keluarga adalah tidak dibenarkan," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Dalam pada itu katanya, seramai 506 individu ditahan ingkar prosedur operasi standard (SOP) ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Daripada jumlah itu, 473 individu dikompaun manakala 33 lagi direman.
"Kesalahan direkodkan ialah tidak memakai pelitup muka (112), premis beroperasi lebih masa/tanpa kebenaran (84), rentas daerah/negeri tanpa kebenaran (77), tiada penjarakan fizikal (76), gagal menyediakan peralatan/merekod butiran pelanggan (66) dan lain-lain (91)," jelasnya.
Sementara itu katanya, Op Benteng pula telah menahan 19 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) dan merampas lapan buah kenderaan darat.
"Op Benteng melibatkan PDRM, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dan Agensi Keselamatan Sempadan Malaysia (AKSEM) serta agensi-agensi keselamatan lain turut menjalankan 536 sekatan Jalan Raya (SJR)," katanya.
Katanya lagi, sejak 24 April 2020, seramai 111,239 individu telah pulang ke tanah air dengan 969 tiba di semua pintu masuk antarabangsa pada Selasa serta sudah mula dikuarantin.
Dalam pada itu ujarnya, seramai 7,541 pekerja warga asing telah menjalani ujian saringan, 153 orang disahkan positif COVID-19.
Sehingga kini kata Ismail, sebanyak 876 buah klinik telah terlibat dengan program saringan ini.
Source: Astro Awani
FOR MORE NEWS GO TO:
https://www.astroawani.com/berita-malaysia/pkpd-di-penjara-marang-dan-pusat-koreksional-dungun-esok-ismail-sabri-280065