Translate

27 January 2021

Malaysia-Australia Jalin Kerjasama Tangani Impak COVID-19

Malaysia-Australia jalin kerjasama tangani impak COVID-19

BERNAMA
27/01/2021 


KUALA LUMPUR, 27 Jan -- Malaysia dan Australia bersetuju mengambil beberapa langkah berkesan untuk menangani dan mengurangkan impak negatif terhadap penularan pandemik COVID-19.

Antara langkah dicadangkan adalah menjalinkan kerjasama dalam program vaksinasi COVID-19, memastikan pasaran kekal terbuka dan rantaian bekalan global.

Ia adalah sebagai menyokong usaha pemulihan ekonomi dan kehidupan masyarakat serta kerjasama dalam pengurusan rentas sempadan.

Perkara tersebut dipersetujui oleh Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin dan rakan sejawatnya dari Australia, Scott John Morrison dalam mesyuarat tahunan pertama mereka yang diadakan melalui persidangan video hari ini.

Pejabat Perdana Menteri, dalam kenyataan, memaklumkan kedua-dua pemimpin itu turut bersetuju menggariskan inisiatif kukuh bagi menjayakan Pelan Tindakan sebagai Rakan Kerjasama Komprehensif-Strategik (CSP) di bawah tiga elemen utama.

Elemen tersebut adalah Kesejahteraan Ekonomi; Masyarakat dan Teknologi serta Kerjasama Pertahanan dan Keselamatan Serantau.

"Kerjasama itu mencerminkan komitmen tinggi di antara kedua-dua pihak untuk mengembangkan lagi hubungan sedia ada yang kukuh dalam pelbagai aspek kerjasama hubungan dua hala dan pelbagai hala, “ menurut kenyataan itu.

Katanya, CSP juga turut memberi peluang kepada kedua-dua negara itu menjalin kolaborasi dalam pelbagai bidang baharu, antaranya, ekonomi digital; pertanian dan sekuriti makanan; pengurusan bencana dan kesihatan awam; kesihatan mental; sains, teknologi dan inovasi (STI); alam sekitar; dan pemerkasaan belia.

"Pengumuman CSP antara Malaysia dan Australia pada hari ini adalah tepat pada masanya, sejajar dengan usaha berterusan oleh kedua-dua negara dalam berhadapan dengan situasi serantau dan global yang semakin kompleks dan rumit,

"CSP ini membolehkan kedua-dua negara meneroka landskap kerjasama baharu dan sekali gus bergerak maju ke hadapan. Malaysia dan Australia merupakan rakan kerjasama yang akrab. Hubungan dua negara ini telah terjalin sebelum kemerdekaan Malaysia," katanya.

Australia telah menubuhkan Suruhanjaya di Kuala Lumpur pada tahun 1955, manakala Tanah Melayu pada ketika itu menubuhkan Suruhanjaya Persekutuan Tanah Melayu di Canberra pada tahun 1956.

Seterusnya, pada tahun 2015, Putrajaya dan Canberra telah meningkatkan hubungan dua hala ke Peringkat Rakan Kerjasama Strategik.

Kedua-dua negara sentiasa bekerjasama di pelbagai platform serantau dan antarabangsa, termasuk melalui Kerjasama Dialog ASEAN-Australia, Sidang Kemuncak Asia Timur, Kerjasama Ekonomi Asia-Pasifik, Forum Kepulauan Pasifik, Komanwel dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED