Translate

07 January 2021

Lelaki Jatuh Perahu Ditemukan Lemas


Lelaki jatuh perahu ditemukan lemas

BERNAMA
07/01/2021 


KUALA KRAI, 7 Jan -- Seorang lelaki yang hilang selepas terjatuh dari perahu ketika membawa mangsa banjir ke pusat pemindahan sementara (PPS) malam tadi ditemukan lemas di Kampung Manjor, di sini, hari ini.

Mayat Mohammad Hakimin Rahim, 20, ditemukan oleh ahli keluarganya pada jam 8.30 pagi di tempat mangsa dilaporkan terjatuh dari perahu.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Krai, Penolong Penguasa Bomba (PPgB) Muhammad Rizwan Ar-Rafee Parsimin berkata bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 10.07 malam tadi dan lima anggota dari BBP Kuala Krai dikerah ke lokasi kejadian.

"Operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan dan ditamatkan pada 12.31 pagi tadi berikutan keadaan gelap selain hujan dan juga air mula menaiki beberapa kawasan rendah.

"Bagaimanapun, ketika kami bersiap untuk menyambung operasi SAR pagi ini, dimaklumkan mangsa sudah dijumpai oleh ahli keluarganya," katanya ketika ditemui di BBP Kuala Krai.

Beliau berkata mayat mangsa kemudiannya diserahkan kepada polis dan dihantar ke Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai untuk tindakan selanjutnya.

DIfahamkan semasa kejadian mangsa tiba-tiba pengsan lalu terjatuh ke dalam sungai sewaktu mendayung perahu ketika membawa dua penumpang ke PPS berdekatan.

Mangsa juga dikatakan kepenatan dan mengalami kekejangan berikutan cuaca sejuk semasa membantu penduduk kampung sejak dari awal pagi sehingga malam.

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED