Econsave nafi jual daging import terlibat pemalsuan logo halal
BERNAMA
01/01/2021
KLUANG, 1 Jan -- Pasaraya Econsave hari ini menafikan yang pihaknya ada menjual daging import yang dikaitkan sebelum ini terlibat dengan aktiviti pemalsuan logo halal.
Pengurus Besarnya Mas Imran Adam berkata, pihaknya hanya menjual daging import berjenama Allana yang diambil secara terus daripada pembekal dari negara India, dan tidak melalui orang tengah.
Katanya, pengimportan daging berkenaan telah bermula beberapa tahun lepas dan produk terbabit juga telah mendapat pengesahan, daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).
“Produk daging import jenama Allana ini dibawa terus ke pasar raya kami dan kami tidak menggunakan khidmat orang tengah atau orang ketiga.
“Saya berharap orang ramai jelas, sekali gus kenyataan ini dapat meyakinkan pengguna berkenaan status halal pada produk jualan Econsave,” katanya ketika ditemui selepas Pemeriksaan Daging Import di Pasaraya Econsave Simpang Ranggam, di sini, hari ini.
Jelasnya, di negara India dan juga Pakistan terdapat 11 buah rumah sembelih yang mendapat sijil halal dan pihak Econsave akan pilih rumah sembelih yang sah sebelum permit import dibenarkan.