Perkembangan terkini nahas helikopter di Klang
BERNAMA
01/01/2021
SHAH ALAM, 1 Jan -- Dua individu bernasib baik apabila hanya mengalami cedera ringan selepas helikopter ringan yang dinaiki mereka terhempas di kawasan lapang di Zon Perdagangan Bebas Pelabuhan Klang, (PKFZ) Pulau Indah dekat sini pagi tadi.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Negeri Selangor Norazam Khamis berkata dalam kejadian pada kira-kira 10 pagi itu, juruterbang helikopter persendirian itu, Kharudin Dahlan, 73 dan pembantunya Moithu Kutti Mohamad, 53, hanya mengalami kecederaan di tangan kiri dan luka-luka kecil.
"Ketika anggota kami tiba di kawasan kejadian, kedua-dua mangsa telah dibawa keluar oleh orang awam dan sedang menerima rawatan oleh anggota perubatan Pelabuhan Barat," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Norazam berkata helikopter ringan dua tempat duduk itu dipercayai terhempas ketika cuba melakukan pendaratan cemas di sebuah kawasan lapang di Jalan PKFZ, Pulau Indah.
"Seramai tujuh orang anggota bomba dan sebuah jentera dikerahkan ke tempat kejadian sebaik sahaja panggilan kecemasan diterima," katanya.