Translate

12 August 2020

MAHB melantik bekas MB Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif



11/08/2020 11:30 PM





KUALA LUMPUR, 11 Ogos -- Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah melantik bekas Menteri Besar Perak Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir sebagai Pengerusi Bukan Bebas Bukan Eksekutif bermula 12 Ogos, menggantikan Tan Sri Datuk Zainun Ali.

Zambry yang merupakan Ahli Dewan Undangan Pangkor (2004 sehingga sekarang) dan bekas Menteri Besar Perak (2009-2018), memiliki Doktor Falsafah dan Ijazah Sarjana dari Universiti Temple dan Ijazah Sarjana Muda Ekonomi (Kepujian) dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (IIUM).

Beliau pernah berkhidmat sebagai profesor di Putra Business School, Universiti Putra Malaysia (UPM), Profesor Adjung di Jabatan Sains Politik (IIUM), Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Institut Minda serta CEO di Pusat Pengajian Kepimpinan dan Pembangunan.



Sementara itu, Zainun telah meletak jawatan selepas penutupan waktu dagangan Bursa Malaysia hari ini.

Baru-baru ini, beliau telah dilantik sebagai salah satu daripada empat pesuruhjaya dan timbalan pengerusi Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC). Beliau juga menjadi ahli Lembaga Penasihat Rangkaian Intergriti Kehakiman Global Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Kumpulan dan Lembaga Pengarah ingin merakamkan penghargaan kepada Tan Sri Zainun atas sumbangan yang tidak ternilai sepanjang tempoh beliau berkhidmat dengan syarikat.


"Sepanjang tempoh itu, Zainun telah bertindak dalam kepentingan terbaik kumpulan pada setiap masa dan amat teliti dalam memastikan pemeteraian piawaian tertinggi dalam tadbir urus korporat dan integriti ditegakkan merentasi kumpulan.

"Tan Sri Zainun telah memainkan peranan penting dalam membantu Malaysia Airports menangani krisis rangkaian KLIA pada 2019 termasuk berperanan dalam perbincangan perjanjian operasi baharu Malaysia Airports dengan kerajaan," kata MAHB.




-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED