Translate

11 August 2020

DCP Shafien Mamat Ketua Polis Kelantan yang baharu

 

BERNAMA


11/08/2020 04:59 PM


KOTA BHARU, 11 Ogos -- DCP Shafien Mamat kini ialah Ketua Polis Kelantan yang baharu menggantikan Datuk Hasanuddin Hassan yang dinaikkan pangkat kepada Komisioner Polis (CP) dan dilantik sebagai Ketua Polis Kedah.

Majlis Serah Terima Tugas berkenaan disaksikan oleh Pengarah Jabatan Pengurusan Bukit Aman Datuk Abd Rahim Jaafar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kelantan, hari ini.

Shafien sebelum ini pernah menjawat jawatan sebagai Ketua Penolong Pengarah (Pematuhan) Bahagian Pematuhan Standard, Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard Bukit Aman dan dipinjamkan selama 10 bulan di Kementerian Dalam Negeri (KDN) sebagai Ahli Lembaga Pencegahan Jenayah (LPJ) KDN, Putrajaya.

Shafien dalam ucapannya berkata beliau akan melakukan yang terbaik dalam memelihara ketenteraman Kelantan yang bersempadan dengan Thailand serta memberi fokus terhadap mengekang jenayah khususnya di media sosial sebagaimana arahan Ketua Polis Negara.

"Saya sedar amanah dan tanggungjawab yang diberikan amat besar namun berbekalkan pengalaman selama 36 tahun di dalam PDRM termasuk sebagai Pegawai Penyiasat, Pegawai Integriti, Ketua Polis Daerah...saya yakin setiap cabaran akan dapati ditangani," katanya yang merupakan anak jati Kampung Jal Besar, Tumpat, dekat sini.

Shafien berkata beliau juga akan memastikan sistem pencapaian perkhidmatan berada di tahap memuaskan selain memperkasa tahap integriti PDRM di tempat terbaik.

“Ketua Polis sebelum ini (Hasanuddin) sudah meletakkan penanda aras yang begitu baik dan selepas ini semua anggota dan pegawai polis Kelantan akan bersama-sama menggembleng tenaga bagi membawa PDRM (Polis Diraja Malaysia) ke puncak," katanya sambil menyeru ketua jabatan dan ketua polis daerah untuk meningkatkan tahap profesionalisme bagi menghadapi cabaran baharu dunia yang sentiasa berubah.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED