Read more at https://www.thestar.com.my/news/nation/2017/11/21/what-the-fish-diner-cries-foul-after-being-charged-rm600-for-fish-head-curry/#pQXpxVmPeu8jwf3x.99
image: http://www.mstar.com.my/~/media/upload/2017/11/21/12/08/kari%20kepala%20ikan%20gambar%20hiasan%201.ashx?w=620&h=413&crop=1&/
PETALING JAYA: Makan malam dua buah keluarga di sebuah restoran mamak terkenal di Kuala Lumpur, hujung minggu lalu dikejutkan dengan harga kari kepala ikan yang didakwa terlalu mahal.
Berdasarkan satu resit yang dimuat naik seorang pengadu di laman sosial pada Isnin, empat mangkuk kari kepala ikan merah yang dipesannya berjumlah RM600.
Ini bermakna setiap kepala ikan berharga lebih kurang RM150, dan ia belum termasuk hidangan makanan dan minuman lain, menjadikan keseluruhan bil hampir RM1,000.
“Saya rasa caj yang dikenakan berlebihan. Saya ambil keputusan untuk tidak lagi ke restoran tu. Anda semua, sila berhati-hati,” menurut ‘posting’ itu yang kini tular.
Pengadu, Faudzy Asrafudeen Sayed Mohamed, 56, ketika dihubungi mStar Online berkata, dia tidak menyangka harga makanan di restoran mamak tersebut semahal itu.
Katanya, ini bukan pertama kali dia makan kari kepala ikan di restoran mamak dan menjelaskan harga yang biasa dikenakan kepada pelanggan adalah antara RM50 dan RM80 semangkuk.
“Saya memang tak tengok menu sebab biasanya tahu purata harga yang nak dibayar. Walaupun dah ada bajet, tapi terkejut bila tengok harga kepala ikan macam tu.
“Saya minta pekerja di kaunter tu untuk perjelaskan. Katanya harga ikut saiz kepala ikan. Kalau kepala besar berharga antara RM120 dan RM150, manakala bersaiz kecil antara RM60 dan RM80,” katanya dengan nada kesal.
Dia yang menetap di Melawati, Kuala Lumpur menolak caj berlebihan itu disebabkan restoran mamak berkenaan terletak di kawasan segi tiga emas di ibu negara.
Faudzy yang merupakan pengarah pembangunan pasaran di sebuah syarikat bagaimanapun tidak bercadang untuk membuat aduan kepada pihak berkuasa.
“Saya bayar sajalah. Takkan tak bayar pula, sebab dah makan. Tapi saya memberi peringatan kepada semua sebab tak nak orang lain pula yang terkena macam kami.
“Mana-mana restoran pun, periksa dahulu menu dan lihat harganya sebelum membuat tempahan, lebih-lebih lagi restoran mamak yang jarang sediakan menu dan harga. Jadi, anda kena minta menu terlebih dahulu terutama nak makan kari kepala ikan,” katanya.
Malah katanya, pengusaha restoran juga perlu memainkan peranan penting dalam memberikan perkhidmatan merkea untuk semua pelanggan.
“Kalau ada pelanggan nak makan kepala ikan, beritahulah jenis harga yang disediakan. Kalau kecil, sederhana atau besar berapa harganya.
“Pekerja perlu perjelaskan tanpa sekadar ambil tempahan semata-mata. Jadi, kalau orang nampak harga bila nak bayar tak ada lah terkejut,” katanya.
Baca lebih lanjut di http://www.mstar.com.my/berita/berita-semasa/2017/11/21/kepala-ikan-mahal/#lrhs1ToiTWbI01cb.99