KUALA LUMPUR: Rakaman video seorang pengurus kafe menumbuk seorang pekerja wanita ketika syifnya telah mendapat perhatian para netizen di media sosial.
Memetik laporan Mirror.UK, perbalahan yang kejam itu dipercayai berlaku di sebuah restoran Panera Bread di Manhattan, New York.
Video yang dihantar ke Gawker oleh seorang saksi, menunjukkan seorang wanita ditahan oleh seorang lelaki berkemeja putih ketika dia cuba untuk keluar dari kafe tersebut.
Mangsa kemudian dilihat membaling begnya ke lantai sebelum menjerit kepada lelaki tersebut.
Berang dengan tindakan wanita tersebut, lelaki yang dipercayai pengurus kafe itu menyerang mangsa dengan memukul dan menumbuknya.
Malah, saksi yang berada disitu dilihat merayu kepada lelaki tersebut untuk melepaskan wanita berkenaan, namun lelaki itu tidak berhenti memukul mangsa.
Difahamkan, video tersebut telah dimuat naik oleh seorang pengguna YouTube yang bernama Midgarr dan dia mendakwa konfrontasi bermula apabila wanita berkenaan secara fizikal dibuang keluar dari kedai tersebut.
Bagaimanapun, pihak polis sedang melakukan siasatan terhadap kes tersebut.
Menurut seorang jurucakap Panera, mereka sudah menerima laporan mengenai perbalahan fizikal antara dua pekerja di kafe mereka.
"Kami tidak mempunyai dasar toleransi bagi keganasan dan kami sedang bekerjasama dengan pihak berkuasa untuk menyiasat kes tersebut.”
Menurut media tempatan, pekerja-pekerja yang terbabit telah dipecat serta-merta.
- Awani