'Mat Bangla' Gaji RM5,000 Kerja KLIA
KUALA LUMPUR: Kos sara hidup yang semakin tinggi menyebabkan ramai dalam kalangan rakyat negara ini mempertikaikan bayaran gaji yang diterima pekerja dalam sektor perkhidmatan awam mahupun sektor swasta masih di tahap rendah.
Malah, lebih menyedihkan apabila gaji yang diperolehi warga asing dilihat melebihi pekerja rakyat tempatan.
Buktinya, laman media sosial sejak semalam kecoh apabila satu salinan penyata gaji yang didakwa milik seorang pekerja warga Bangladesh yang bekerja di Jabatan Loader di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 2 (KLIA2) menjadi ‘viral’ dengan menyiarkan gaji yang diterima pekerja terbabit mencecah lebih RM 5,000 sebulan.
Mengulas perkara tersebut, Pakar Ekonomi Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan, Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Datuk Dr Amir Hussin Baharuddin berkata, tidak timbul isu ‘double standard’ dalam pemberian gaji antara pekerja asing dengan rakyat tempatan.
Menurutnya, gaji yang diterima warga Bangladesh itu adalah setimpal dengan waktu kerja yang diperuntukannya termasuk kerja lebih masa, selain daripada pekerjaan tersebut jarang diceburi rakyat negara ini.
“Kalau rakyat Malaysia mahu gaji seperti itu, maka kerjalah seperti pekerjaan yang dibuat oleh warga Bangladesh. Namun, rakyat Malaysia dilihat jarang mahu melakukan pekerjaan seperti buruh ataupun tukang cuci.
“Mengikut prinsip di Amerika Syarikat dan negara maju lain, individu yang terlibat dalam sektor pekerja berat yang berisiko tinggi dan kotor akan menerima imbuhan yang tinggi,” katanya ketika dihubungiMalaysian Digest, hari ini.
Ditanya mengenai gaji lebih masa yang diterima pekerja itu melebih RM1,700, beliau menyatakan adalah rasional untuk seseorang pekerja itu menerima imbuhan selepas bekerja melebihi waktu biasa iaitu lapan jam.
“Tambahan pula bekerja di KLIA2 yang mungkin memaksa pekerja untuk sentiasa bekerja mengikut giliran tanpa mengira masa.
“Adalah munasabah dengan kerja lebih masa mencecah ribuan ringgit bergantung kepada keperluan sesebuah syarikat itu,” ujarnya.
Bagaimaapun, Dr Amir menegaskan bahawa perkara tersebut tidak boleh dipandang remeh kerana dibimbangi akan memberi kesan kepada pekerja tempatan ekoran wujud persaingan untuk mendapatkan pekerjaan.
“Pihak Kementerian Sumber Manusia khususnya perlu memantau sekiranya lebihan pekerja asing ini boleh menggugat rakyat tempatan.
“Dengan gaji yang diterima warga asing itu boleh menarik ramai pekerja asing mahupun pekerja asing tanpa izin (PATI) untuk masuk ke sini,” jelasnya.
- mD