Translate

11 November 2014

Dynas Mokhtar sah bercerai 25 Februari lalu


10 Nov – Setelah sekian lama berteka-teki mengenai status sebenar dirinya, akhirnya aktres dan pengacara Dynas Mokhtar mendedahkan dia dan suaminya, Hafizy Hafiz telah sah bercerai talak satu pada 25 Februari lalu di Mahkamah Tinggi Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.
Menerusi satu temubual eksklusif bersama Berita Harian, Dynas mengakui khabar angin mengenai perceraian mereka sekitar Februari lalu adalah benar dan tempoh edah telah pun berakhir sekitar Mei lalu.
Mengakui masalah yang tercetus antara mereka adalah kecil, tetapi ia telah berlarutan sehingga tidak mampu dibendung lagi. Namun Dynas menafikan ia berpunca dari isu bekas suaminya yang tidak mempunyai kewangan yang stabil.
"Masalah komunikasi menyebabkan hubungan kami jadi hambar. Tak macam di awal perkahwinan, komunikasi menjadi teras kekuatan kami. Kami berkongsi itu dan ini. Tapi ketika kami bergelut mempertahankan perkahwinan ini, masing-masing buat hal sendiri.
"Boleh dikatakan kami bercakap pun hanya pasal anak. Apabila sudah lama tak berkomunikasi, asal bercakap saja boleh gaduh. Ketika ini saya mula sedar, paling penting suami isteri mendengar dulu apa yang mahu pasangan mereka luahkan sebelum pantas memberi maklum balas.
"Ibu saya sendiri pernah berkata, sayang sangat hubungan kami berakhir kerana perkara sebegini. Tapi semua sudah tertulis dan saya reda," ujar Dynas.
Walaupun dilihat cekal dan tabah menghadapi dugaan perkahwinan, Dynas akui pernah mengalami kemurungan sehingga terpaksa bertemu pakar psikiatri.
"Kemurungan ini saya sendiri secara tak sedar bila ia muncul. Ia antara penyebab saya seperti hilang punca dan arah. Ditambah pula dengan masalah rumahtangga, semuanya bagaikan sudah jatuh ditimpa tangga.
"Ia menjejaskan kerja dan segala-galanya. Orang mungkin akan agak saya seperti orang gila kerana sampai perlu berjumpa pakar psikiatri. Kemurungan ini boleh terjadi kepada sesiapa sahaja. Saya rasa tak gembira dan macam hidup seorang diri walhal saya sudah mempunyai keluarga," tambahnya lagi.
Dynas dan Hafizy telah berkahwin pada 15 Mac 2008 dan hasil perkahwinan tersebut mereka dikurniakan dua cahaya mata iaitu Khyra Khalyssa, 5, dan Mohamed Haqaish, 2.
[Sumber Foto: Instagram Dynas Mokhtar]

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED