Wanita rugi RM280,000 terperdaya sindiket penipuan panggilan telefon
Bernama
07/10/2024
Seorang eksekutif pembinaan di Bahau, Jempol, kerugian RM280,000 selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis, semalam. - Foto hiasan
SEREMBAN: Seorang eksekutif pembinaan di Bahau, Jempol, kerugian RM280,000 selepas diperdaya sindiket penipuan melalui panggilan telefon yang menyamar sebagai pegawai polis, semalam.
Ketua Polis Daerah Jempol Supt Hoo Chang Hook berkata wanita berusia 32 tahun itu menyatakan menerima panggilan daripada individu memperkenalkan diri sebagai seorang inspektor polis dari Melaka dan memaklumkan dia telah terlibat sewa kad bank dan cuci wang haram.
"Pengadu (wanita) menafikan hal itu, namun panggilan terbabit disambungkan kepada seorang individu kononnya seorang pegawai polis daripada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka. Individu itu memberitahu bahawa dia menjumpai 200 kad pengenalan dan satu daripadanya adalah milik pengadu.
"Pengadu kemudiannya sekali lagi menafikan hal tersebut, sebelum diberitahu satu siasatan terperinci kewangan dijalankan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Beliau berkata wanita berkenaan diminta memindahkan semua wang dalam akaun bank bagi audit untuk memastikan tidak terlibat dengan pengubahan wang haram.
Wanita itu, katanya memindahkan wang RM280,000 ke enam akaun berasingan, sebelum diminta membuat bayaran tambahan.
"Wanita itu yang berasa curiga bertindak menghubungi IPK Melaka untuk semakan dan kemudian dimaklumkan dirinya telah ditipu," katanya sambil menambah kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.
-- BERNAMA