Translate

25 December 2024

TDM tahan dua warga India cuba seberang Sungai Golok



TDM tahan dua warga India cuba seberang Sungai Golok

Bernama

24/12/2024


Dua lelaki ditahan itu mendakwa ingin pulang ke negara asal, India melalui Thailand dan telah diaturkan oleh lelaki yang melarikan diri dipercayai ejen mengatur perjalanan mereka. - Gambar FB Markas Divisyen Ke 2 Infantri Malaysia


KOTA BHARU: Tentera Darat Malaysia (TDM) melalui Markas Divisyen Kedua Infantri Malaysia (2 Divisyen) menahan dua warga India yang cuba menyeberangi Sungai Golok menuju ke Thailand, pada Ahad lepas.

Menurut kenyataan 2 Divisyen hari ini, kejadian berlaku pada 10.15 malam ketika pasukan operasi sedang melakukan rondaan di kawasan Sektor Kawasan Tanggungjawab Briged Kelapan Infantri Malaysia (KTJ 8 Bgd).

"Pasukan yang melaksanakan rondaan telah mengesan tiga lelaki berada di tebing Sungai Golok di sebelah Malaysia yang cuba menyeberangi sungai tersebut menuju ke arah Thailand.

"Seorang daripada lelaki tersebut berjaya melarikan diri dengan menyeberangi sungai tersebut manakala dua lagi tidak sempat melarikan diri kerana bersama-sama mereka terdapat beg pakaian serta beberapa barangan milik peribadi," menurut kenyataan berkenaan.

Menurut kenyataan itu, dua lelaki ditahan itu mendakwa ingin pulang ke negara asal, India melalui Thailand dan telah diaturkan oleh lelaki yang melarikan diri dipercayai ejen mengatur perjalanan mereka.

Pemeriksaan lanjut mendapati kedua-dua mereka memiliki pasport antarabangsa India yang masih sah hingga 2028 dan memasuki Malaysia pada 2022 melalui pintu masuk yang sah menggunakan visa pelancong.

"Turut ditemui beberapa telefon bimbit serta jam tangan pelbagai jenama, beberapa keping mata wang India dan Malaysia dengan jumlah keseluruhan barang rampasan RM4,746 dan telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah Tanah Merah untuk tindakan selanjutnya," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED