Translate

05 September 2024

Ketua jurulatih Vicente anggap kemenangan Harimau Malaya ke atas Filipina langkah penting



Vicente anggap kemenangan Harimau Malaya ke atas Filipina langkah penting

Bernama

05/09/2024

Vicente berkata setiap jurulatih memasang impian untuk mencipta kemenangan pada tugasan pertama mereka bersama pasukan dan bagi pengendali kelahiran Sepanyol itu, misinya berjaya ditunaikan. - Gambar/ Bernama


KUALA LUMPUR: Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan, Pau Marti Vicente menganggap kemenangan 2-1 Malaysia ke atas Filipina pada aksi separuh akhir Pestabola Merdeka 2024 di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini malam tadi sebagai satu langkah penting untuk Harimau Malaya.

Vicente berkata setiap jurulatih memasang impian untuk mencipta kemenangan pada tugasan pertama mereka bersama pasukan dan bagi pengendali kelahiran Sepanyol itu, misinya berjaya ditunaikan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kemenangan malam tadi lebih bermakna buat pemain terutama selepas pasukan melakukan beberapa perubahan termasuk peletakan jawatan mengejut bekas ketua jurulatih Kim Pan Gon Julai lepas.







"Ia lebih penting kepada pasukan berbanding saya. Bagi saya, sudah tentu semua jurulatih mahu mencipta kemenangan pada perlawanan pertama, tetapi saya juga mahu menang pada aksi kedua dan ketiga.

"Mungkin ia tidak semudah yang kami jangkakan tetapi akhirnya kami berjaya memperoleh keputusan yang kami harapkan iaitu kami mara ke perlawanan akhir. Seperti yang saya katakan sebelum ini kini kami sudah berada di final, dan kami juga mahu menang," katanya pada sidang media selepas perlawanan di sini.

Pada aksi malam tadi, Malaysia ketinggalan 0-1 hasil jaringan sendiri pemain pertahanan Muhamad Feroz Baharudin pada minit ke-27.

Harimau Malaya bangkit untuk meledakkan gol penyamaan hasil jaringan Mohammad Syamer pada minit ke-43 dan sepakan penalti pemain sayap gantian Muhammad Safawi Rasid pada minit ke-73 mengesahkan kemenangan di gelanggang sendiri.

Aksi final Pestabola Merdeka 2024 bakal menyaksikan Malaysia bertemu Lubnan, manakala Filipina dan Tajikistan akan bertarung pada penentuan tempat ketiga di stadium sama pada Ahad (8 Sept).

Sementara itu, Vicente berpuas hati dengan komitmen pemain yang mencipta kemenangan pada tugasan pertama beliau meskipun hanya mempunyai tempoh singkat membimbing pasukan itu sejak dilantik sebagai ketua jurulatih skuad kebangsaan.

Kemenangan itu mengikuti jejak Pan Gon yang turut membantu pasukan menewaskan Filipina pada penampilan sulung beliau pada Mac 2022 dengan Vicente menggalas tugas sebagai penolong jurulatih pada ketika itu.

Malaysia muncul juara Pestabola Merdeka sebanyak 12 kali selepas kali terakhir melakukannya pada edisi 2013.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED