Agong zahir rasa syukur sempena ulang tahun perkahwinan ke-42
Astro Awani
22/09/2024
Sultan Ibrahim menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT di atas kebahagiaan yang dikurniakan hasil perkahwinan selama lebih empat dekad itu. - Gambar/ IG officialsultanibrahim
KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menzahirkan rasa syukur sempena ulang tahun perkahwinan bersama Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah yang ke-42, hari ini.
Seri Paduka Baginda menerusi satu hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar menzahirkan rasa syukur kepada Allah SWT di atas kebahagiaan yang dikurniakan hasil perkahwinan selama lebih empat dekad itu.
“Saya dan Raja Zarith Sofiah telah mengharungi banyak pengalaman pahit dan manis bersama-sama.
“Kami diberkati dengan enam cahaya mata dan enam cucunda yang melengkapkan keluarga kami dan berharap akan bertambah lagi pada masa akan datang,” titah Seri Paduka Baginda.
Pada 22 Sept 1982, Seri Paduka Baginda mendirikan rumah tangga bersama Permaisuri Johor Raja Zarith Sofiah dan dikurniakan lima putera dan seorang puteri iaitu Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, Tunku Tun Aminah Maimunah Iskandariah, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar, Tunku Laksamana Johor Almarhum Tunku Abdul Jalil, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman dan Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar.