Ular sawa 5.4 meter, 120kg sembunyi dalam reban ayam
Bernama
Disember 24, 2023
Anggota APM yang tiba di lokasi kejadian mengambil masa sekitar 10 minit untuk menangkap ular sawa itu menggunakan peralatan khas.
Ular sawa 5.4 meter, 120kg sembunyi dalam reban ayam
Anggota APM yang tiba di lokasi kejadian mengambil masa sekitar 10 minit untuk menangkap ular sawa itu menggunakan peralatan khas. - Gambar/ Sinar Harian
KUALA BERANG: Seekor ular sawa sepanjang 5.4 meter dengan anggaran berat 120 kilogram berjaya ditangkap anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) Hulu Terengganu di Kampung Pelandan, di sini hari ini.
Pegawai APM Daerah Hulu Terengganu Kapten (PA) Mohd Zabri Abd Razak berkata pihaknya menerima panggilan daripada seorang penduduk kampung pada 7.45 pagi memaklumkan kehadiran reptilia berkenaan di dalam reban ayam miliknya.
Beliau berkata enam anggota APM yang tiba di lokasi kejadian mengambil masa sekitar 10 minit untuk menangkap ular sawa itu menggunakan peralatan khas.
"Penduduk kampung itu mendengar bunyi bising dari reban di belakang rumah dan setelah diperiksa, dia mendapati seekor ular sawa sedang berlingkar di dalamnya.
"Ular sawa ini akan disimpan di sangkar milik APM Daerah Hulu Terengganu untuk sementara sebelum diserahkan kepada pihak Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) untuk tindakan lanjut," katanya ketika dihubungi Bernama hari ini.
Sehubungan itu, Mohd Zabri menasihatkan penduduk supaya sentiasa berwaspada dengan kehadiran haiwan berbisa dan berbahaya ketika musim banjir ini.
-- BERNAMA