Translate

31 October 2023

RTG: Hoki, badminton beregu campuran, digugurkan



RTG: Hoki, badminton beregu campuran, digugurkan

Bernama

Oktober 31, 2023
Penyelaras program RTG Datuk Stuart Ramalingam berkata keputusan tersebut terpaksa dilakukan, disebabkan prestasi buruk atlet. - Gambar fail/Bernama

RTG: Hoki, badminton beregu campuran, digugurkan

Penyelaras program RTG Datuk Stuart Ramalingam berkata keputusan tersebut terpaksa dilakukan, disebabkan prestasi buruk atlet. - Gambar fail/Bernama

KUALA LUMPUR: Program Road to Gold (RTG) hari ini mengumumkan pengguguran atlet daripada program itu, termasuk pasukan hoki lelaki kebangsaan yang gagal mencapai sasaran pingat emas yang mereka sendiri tetapkan di Sukan Asia Hangzhou 2022.

Mesyuarat Jawatankuasa RTG ketiga yang berlangsung hari ini turut memutuskan untuk menggugurkan atlet badminton, pasangan beregu campuran persendirian Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Jemie Lai, selepas penilaian semula terhadap prestasi mereka.

Kedua-dua pasangan itu kini terkeluar daripada ranking kelayakan ke Paris dengan Soon Huat-Shevon berkedudukan ke-16 dunia, manakala Kian Meng-Pei Jing, ke-24.







Penyelaras program RTG Datuk Stuart Ramalingam berkata keputusan tersebut terpaksa dilakukan, disebabkan prestasi buruk pemain badminton tersebut, tetapi berharap tindakan itu akan memotivasikan mereka untuk pada kelayakan dan pertandingan yang mereka sertai untuk layak ke Paris.

"Penyenaraian pasukan hoki negara dibuat selepas mereka menduduki ranking kesembilan dunia, namun kini ranking mereka telah jatuh ke-12 dan gagal untuk memenangi pingat emas Sukan Asia, yang menawarkan kelayakan terus ke Paris.

"Jawatankuasa RTG bersetuju untuk menyenaraikan semula pasukan hoki negara, jika prestasi mereka melepasi jangkaan dan layak ke Sukan Olimpik pada kejohanan kelayakan selepas ini, iaitu sama ada di Muscat, Oman (15-21 Jan) atau di Valencia, Sepanyol (13-21 Jan), tahun depan," katanya pada sidang media di sini hari ini.

Sementara itu, kemasukan ke program itu kali ini hanya melibatkan atlet angkat berat Mohamad Aniq Kasdan, yang kini berkedudukan ke-10 Ranking Kelayakan Olimpik.

"Aniq baru berusia 21 tahun, kami melihat beliau berpotensi besar untuk memperbaiki angkatan peribadinya pada 291 kilogram," katanya.

Jawatankuasa itu memutuskan untuk tidak menyenaraikan atlet terjun lelaki Bertrand Rhodict Lises dan penembak Johnathan Wong, yang telah melayakkan diri ke Sukan Olimpik Paris ke dalam RTG, namun akan membantu mereka menerusi Skim Insentif Sukan Olimpik (SISO), selain meneruskan sokongan menerusi Program Podium sedia ada.

Bertrand juga menerima elaun tambahan atas kejayaan beliau memenangi pingat gangsa Sukan Asia dalam acara 10 meter platform bersama Enrique Maccartney Harold dan Majlis Sukan Negara (MSN) akan merangka program khas untuk penerjun berusia 18 tahun itu.

"Pelayar Nur Shazrin Latif, yang layak ke Paris selepas meraih emas acara ILCA 6 Sukan Asia, juga akan menerima kenaikan elaun untuk pingat emasnya dan juga menerima insentif tambahan untuk kelayakannya ke Sukan Olimpik menerusi SISO.

"Beliau akan terus disokong sepenuhnya oleh Program Podium dengan menerima penginapan, makanan, perlindungan kos pertandingan, peralatan, pemakanan serta perkhidmatan perubatan dan sains sukan," katanya.

Stuart berkata seorang lagi pemenang pingat emas Hangzhou Qabil Ambak Mahamad Fathil dalam sukan equesterian, tidak dimasukkan ke dalam RTG kerana atlet tersebut tidak berhasrat untuk bertanding pada kelayakan ke Sukan Olimpik.

Sementara itu, selepas sukan skuasy diluluskan untuk dipertandingkan buat pertama kalinya pada Sukan Olimpik Los Angeles 2028, Jawatankuasa RTG telah memberikan tanggungjawab kepada legenda dan ahli jawatankuasa itu Datuk Nicol David, menerajui pelan strategik sukan tersebut bagi memasuki program RTG pada masa hadapan.

RTG merupakan satu progam atlet elit yang dilancarkan pada Mac, dalam usaha memenangi pingat emas Sukan Olimpik negara yang pertama di Paris dan Los Angeles.

Senarai terkini atlet RTG:

Aaron Chia (Badminton)

Soh Wooi Yik (Badminton)

Pearly Tan (Badminton)

M. Thinaah (Badminton)

Chen Tang Jie (Badminton)

Toh Ee Wei (Badminton)

Ng Tze Yong (Badminton)

Lee Zii Jia (Badminton)

Ong Yew Sin (Badminton)

Teo Ee Yi (Badminton)

Datuk Azizulhasni Awang (Berbasikal)

Muhammad Shah Firdaus Sahrom (Berbasikal)

Datuk Pandelela Rinong (Terjun)

Nur Dhabitah Sabri (Terjun)

Mohamad Aniq Kasdan (Angkat Berat)

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED