Translate

29 October 2023

Malaysia sambut baik, sokong resolusi UNGA terhadap gencatan senjata di Gaza



Malaysia sambut baik, sokong resolusi UNGA terhadap gencatan senjata di Gaza

Bernama

Oktober 28, 2023
Menurut Wisma Putra, perkembangan itu menunjukkan sokongan yang lebih afirmatif daripada masyarakat antarabangsa untuk membuat kemajuan substantif dan jelas dalam menangani krisis kemanusiaan

Malaysia sambut baik, sokong resolusi UNGA terhadap gencatan senjata di Gaza

Menurut Wisma Putra, perkembangan itu menunjukkan sokongan yang lebih afirmatif daripada masyarakat antarabangsa untuk membuat kemajuan substantif dan jelas dalam menangani krisis kemanusiaan. - Gambar hiasan/BERNAMA

PUTRAJAYA: Malaysia menyambut baik dan menyokong penerimaan resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang menyeru kepada gencatan senjata segera dan berkekalan antara tentera Israel dan Hamas di Gaza.

Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNGA) pada Jumaat menerima resolusi bertajuk "Protection of Civilians and Upholding Legal and Humanitarian Obligations" dengan 120 undi menyokong, 14 membantah manakala 45 berkecuali.

"Malaysia menyokong dan menjadi penaja bersama resolusi itu, selaras dengan pendirian negara yang tidak berbelah bagi untuk terus menyokong segala usaha antarabangsa dalam mencari penyelesaian adil, berkekalan, komprehensif dan damai terhadap situasi di Palestin.







"Oleh itu, keputusan berkenaan membawa mesej yang jelas dan tegas oleh masyarakat antarabangsa yang menuntut tindakan imperatif terhadap krisis kemanusiaan di Gaza," menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Luar (Wisma Putra).

Menurut Wisma Putra, perkembangan itu menunjukkan sokongan yang lebih afirmatif daripada masyarakat antarabangsa untuk membuat kemajuan substantif dan jelas dalam menangani krisis kemanusiaan.

"Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) harus menghormati dan bertindak selaras dengan kehendak Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu," menurut kenyataan itu.

Sebanyak empat resolusi UNSC mengenai Palestin gagal diluluskan sejak krisis bermula pada 7 Okt.

Kenyataan itu turut menyatakan bahawa Malaysia akan mengambil bahagian secara aktif dalam mesyuarat pleno ESS ke-10 yang dijadual disambung semula pada 31 Okt.

Malaysia mengulangi gesaan terhadap gencatan senjata segera, akses kemanusiaan tanpa halangan, dan menolak sebarang cubaan mengusir rakyat Palestin secara paksa dari tanah air mereka.

"Malaysia berpegang teguh kepada pendirian prinsipnya bahawa rakyat Palestin berhak menubuhkan negara merdeka yang berdaulat berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara," menurut kenyataan itu.

Malaysia bersama-sama Brunei, Bangladesh, Kemboja, Indonesia, Laos, Maldives, Timor Leste dan Vietnam menyokong permintaan Liga Arab dan Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) untuk menyambung semula ESS ke-10 UNGA di New York pada 26 Okt.

-- BERNAMA

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED