Al-Sultan Abdullah tamat perkhidmatan sebagai YDP Agong berkuat kuasa 30 Januari 2024
ASTRO AWANI
Oktober 26, 2023
Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.
Al-Sultan Abdullah tamat perkhidmatan sebagai YDP Agong berkuat kuasa 30 Januari 2024
Yang di-Pertuan Agong, Al Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.
KUALA LUMPUR : Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bakal menamatkan pemerintahannya berkuat kuasa 30 Januari 2024.
Al-Sultan Abdullah telah memegang tampuk kepimpinan negara selama lima tahun bermula 31 Januari 2019.
Seri Paduka Baginda menerusi kenyataan pada Khamis turut menzahirkan penghargaannya sepanjang tempoh Baginda memerintah negara.
Baginda dalam masa sama turut berkongsi pelbagai bentuk cabaran dan rintangan sepanjang menjadi ketua negara.
“Sepanjang bersemayam di atas takhta kerajaan Malaysia, Paduka Adinda telah menempuh pelbagai peristiwa dan badai gelora, termasuk kemelut politik yang melanda tanah air.
“Terpahat dalam lipatan sejarah negara, bahawa Paduka Adinda adalah merupakan satu-satunya Yang di-Pertuan Agong yang telah diberi keafiatan untuk memerintah negara dengan empat orang Perdana Menteri bersama empat Jemaah Menteri yang berlainan.
“Begitu juga, setelah negara menghadapi Pilihan Raya Umum yang ke-15, buat pertama kalinya dalam sejarah demokrasi Malaysia, negara berhadapan dengan situasi Parlimen tergantung.
“Tempoh pemerintahan Paduka Adinda juga turut diselubungi dengan penularan pandemik Covid-19 yang telah memberi kesan kepada ekonomi negara dan kelangsungan hidup rakyat jelata sehingga proklamasi darurat terpaksa diisytiharkan dan negara pula terpaksa menempuh perintah kawalan pergerakan,” titah Baginda menerusi kenyataan pada Khamis.
Meskipun Baginda berdepan dengan pelbagai cabaran, Al-Sultan Abdullah menzahirkan rasa syukur kerana negara masih dipayungi Raja-Raja Melayu yang menjadi benteng kepada kesejahteraan negara.
Dalam pada itu, Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar yang mempengerusikan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 turut memuji inisiatif Seri Paduka Baginda menerusi program Kembara Borneo yang julung kali diadakan.
Titah Sultan Ibrahim, program berkenaan secara tidak langsung telah merapatkan lagi institusi diraja bersama rakyat.
“Kejayaan Paduka Adinda bukan sahaja dalam menyelesaikan kemelut politik, tetapi juga dalam menyantuni rakyat jelata. Kembara Borneo yang juung kali diadakan telah berjaya mendekatkan hubungan Raja dan rakyat, dan meningkatkan kesetiaan rakyat kepada Raja dan Negara, titah Baginda.
Al-Sultan Abdullah sebelum ini menggantikan Sultan Muhammad V yang meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 selepas memegang tampuk pemerintahan negara sejak 13 Disember 2016.