Promosi nasi kandar babi umpama hina industri - PRESMA
ASTRO AWANI
Oktober 30, 2023
Promosi nasi kandar babi umpama hina industri - PRESMA
Setakat ini, video yang dimuat naik ini menerima lebih 200,000 tontonan dan lebih 5,000 tanda suka. - Facebook/Sepang Viral
KUALA LUMPUR: Tindakan mempromosikan nasi kandar dengan hidangan babi merupakan satu bentuk penghinaan kepada industri nasi kandar di Malaysia.
Persatuan Pengusaha Restoran Muslim Malaysia (PRESMA) melahirkan rasa kesal dengan tindakan itu kerana umum mengetahui nasi kandar di Malaysia dipelopori pengusaha restoran Muslim sejak puluhan tahun lalu.
Presidennya, Datuk Jawahar Ali Taib Khan berkata, video itu juga boleh menimbulkan kekeliruan orang ramai terutama pelanggan dan penggemar nasi kandar.
"PRESMA beranggapan ia akan menimbulkan kekeliruan kepada pelanggan serta penggemar nasi kandar di negara ini sekali gus memberikan gambaran negatif kepada menu kesukaan ramai ini.
"PRESMA ingin menegaskan, hidangan nasi kandar di semua premis milik ahli PRESMA di seluruh negara dijamin halal dan bebas daripada bahan dilarang di dalam Islam," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Dalam masa sama, PRESMA menasihatkan kepada semua pencipta kandungan supaya lebih sensitif dengan hasil kreatif yang dihasilkan.
"Kepada mana-mana pencipta kandungan perlu lebih sensitif dan perlu mengambil kira soal makanan yang selama ini dikaitkan dengan orang Islam," katanya.
Video yang dimuat naik itu sudah mencecah lebih 200,000 tontonan dan lebih 5,000 tanda suka.