Mohamad Fauzi mula tugas Ketua Setiausaha KKD
Bernama
Mei 3, 2023
Mohamad Fauzi mula tugas Ketua Setiausaha KKD
Datuk Mohamad Fauzi Md Isa, Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital yang baharu. - Foto Facebook KKD
PUTRAJAYA: Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) yang baharu Datuk Mohamad Fauzi Md Isa memulakan tugas secara rasmi di kementerian itu hari ini.
Beliau yang sebelum ini merupakan Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar dan Kawalan) Kementerian Dalam Negeri, tiba di KKD di sini pada kira-kira 8.53 pagi dan disambut pengurusan tertinggi kementerian.
Mohamad Fauzi, yang menggantikan Datuk Seri Mohammad Mentek yang memegang jawatan itu sejak 4 Nov 2020, mengimbas wajah di mesin kedatangan sebelum memasuki pejabatnya.
Antara jawatan yang pernah disandang Mohamad Fauzi ialah Pengarah Bahagian Pembangunan Organisasi, Jabatan Perkhidmatan Awam dan Timbalan Ketua Pengarah Imigresen (Operasi) Jabatan Imigresen.
-- BERNAMA