Mekanik sambilan dipenjara tiga bulan kerana simpan 25 ekor burung tanpa lesen
Bernama
Mei 11, 2023
Mekanik sambilan dipenjara tiga bulan kerana simpan 25 ekor burung tanpa lesen
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi kedua-dua pertuduhan itu selain memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula hari ini. - Gambar hiasan
KUALA LUMPUR: Seorang mekanik sambilan dijatuhi hukuman penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menyimpan enam ekor burung Daun Sayap Biru dan 19 ekor burung Murai Batu tanpa lesen sah di sebuah rumah, tahun lepas.
Hakim Norina Zainol Abidin menjatuhkan hukuman itu terhadap Mahadhir Ibrahim, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia menukar pengakuan kepada bersalah pada sebutan semula kes hari ini.
Mahkamah menjatuhkan hukuman penjara tiga bulan bagi kedua-dua pertuduhan itu selain memerintahkan hukuman berjalan serentak bermula hari ini.
Bagi pertuduhan menyimpan enam ekor burung Daun Sayap Biru(Chloropsis cochinchinesis) , lelaki itu dituduh mengikut Seksyen 68(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 68(I) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya.
Mahadhir turut berdepan pertuduhan di bawah Seksyen 60(1)(a) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 (Akta 716) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 60(1) akta sama yang membawa hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga dua tahun atau kedua-duanya, kerana menyimpan 19 ekor burung Murai Batu (Copsychus malabaricus).
Dia yang tidak diwakili peguam didakwa melakukan kesalahan di sebuah rumah di Jalan Puchong Petaling Bahagia, di sini pada 6.05 petang, 13 Mei 2022.
Terdahulu, Pegawai Pendakwa daripada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), Suhainariddah Abd Rashid memohon hukuman setimpal supaya memberi pengajaran kepada tertuduh dan masyarakat umum.
"OKS tidak mempunyai kesalahan lampau namun tindakan OKS mengambil hidupan liar secara tidak terkawal boleh menyebabkan kepupusan spesies haiwan tersebut. Ini kerana keperluan lesen spesies hidupan liar adalah untuk memastikan haiwan itu dapat diuruskan secara mampan," katanya.
Sementara itu, Mahadhir merayu hukuman ringan dengan alasan dia menanggung dua anak serta seorang isteri yang tidak bekerja selain berjanji tidak akan mengulangi kesalahan.
"Saya dari keluarga yang susah dan memohon supaya tidak dipenjarakan kerana saya penanggung tunggal keluarga," katanya.
-- BERNAMA