Translate

12 March 2021

Kekasih Langgar Polis Dihadapkan Ke Mahkamah

Kekasih didalam "Alza Biru" Yang langgar polis dihadapkan ke mahkamah
Kekasih langgar polis dihadapkan ke mahkamah

Info roadblock JPJ/POLIS
12/3/2021

Bangi: Sepasang kekasih dihadapkan ke Mahkamah Majistret Bandar Baru Bangi di sini, hari ini atas dua tuduhan menyebabkan kecederaan dan khianat terhadap anggota polis, Selasa lalu.

Muhammad Asraf Zulkefli, 19, yang juga pekerja kilang mengaku bersalah di hadapan Hakim Effandi Nazila yang bertindak sebagai majistret.

Bagaimanapun, pasangannya, Umiezatul Asyikin Nasrun, 20, yang dituduh bersubahat atas kesalahan sama mengaku tidak bersalah dan meminta dibicarakan.

Muhammad Asraf dituduh menyebabkan kecederaan terhadap anggota polis, Mohamad Amirul Yahya yang sedang bertugas ketika itu di tempat letak kenderaan sebuah restoran makanan segera di Seksyen 9 di sini, pada 10.30 malam, 9 Mac lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 332 Kanun Keseksaan (KK) yang boleh dihukum penjara tidak lebih tiga tahun, denda atau keduanya sekali, jika sabit kesalahan.

Tertuduh turut didakwa melakukan khianat dengan sengaja merosakkan palang pemegang, ekzos, rim dan plat nombor pendaftaran belakang motosikal Yamaha Y15 milik Mohamad Amirul sehingga menyebabkan kerugian RM1,060 pada masa, tarikh dan lokasi sama.

Kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak lebih lima tahun, denda atau keduanya jika sabit kesalahan.

Sementara Umiezatul Asyikin pula dituduh bersubahat dengan Muhammad Asraf terhadap kedua-dua pertuduhan, yang dibaca bersama Seksyen 109 Kanun Keseksaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Muhammad Fauzan Mohd Nor, yang menawarkan jaminan RM5,000 untuk setiap pertuduhan kepada setiap tertuduh.

Bagaimanapun, tertuduh merayu jaminan dikurangkan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM2,500 bagi setiap pertuduhan dan menetapkan 12 April ini untuk sebutan semula kes.

Sebelum ini, tular di media sosial rakaman video anggota polis cuba menahan sebuah kenderaan pelbagai guna (MPV) yang dalam keadaan mencurigakan.

Namun, pemandu MPV enggan memberi kerjasama dan cuba untuk melarikan diri sehingga menyebabkan anggota polis terpaksa 'memanjat' kenderaan terbabit dalam usaha untuk menahan suspek.

Source: Info Roadblock JPJ/POLIS / Harian Metro

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED