Translate

13 March 2021

Bapa, Anak Maut Dalam Nahas 3 Kenderaan

Bapa, anak maut dalam nahas 3 kenderaan

Info Roadblock JPJ/POLIS
13/3/2021

KULIM: Dua beranak maut selepas kereta Perodua Kancil yang dinaiki mereka terbabit dalam kemalangan dengan dua lagi kenderaan di Jalan Sungai Karangan-Padang Serai, di sini malam tadi.

Dalam kejadian sekitar jam 8 malam itu, mangsa, Zaifisal Zakaria, 42, meninggal dunia di tempat kejadian, manakala anaknya, Muhammad Zafril Zaifisal, 9, meninggal dunia ketika menerima rawatan di wad kecemasan Hospital Kulim.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim, berkata pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian itu sekitar jam 9 malam membabitkan kemalangan tiga kenderaan iaitu sebuah kereta Perodua Kancil dinaiki mangsa, Honda Civic dan Proton Wira.

Beliau berkata, siasatan awal di tempat kejadian mendapati kereta Proton Wira yang dipandu lelaki berusia 43 tahun datang dari arah Sungai Petani menghala ke Lunas.

"Namun sebaik tiba di lokasi, didapati kereta Proton Wira terbabit dilanggar di bahagian tepi belakang sebelah kanan oleh kereta Honda Civic yang cuba memotong menyebabkan kereta yang dipandu hilang kawalan dan terbabas ke bahu jalan laluan bertentangan.

"Akibat perlanggaran antara dua kenderaan itu, kereta Honda Civic itu hilang kawalan dan melanggar bahagian depan kereta Perodua Kancil yang datang dari arah bertentangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Azhar berkata, pemandu kereta Honda Civic itu kemudian melarikan diri dari lokasi kemalangan.

Bagaimanapun, pemandu kereta Proton Wira tidak mengalami sebarang kecederaan, manakala pemandu kereta Perodua Kancil itu maut di lokasi kemalangan manakala anaknya mengalami kecederaan parah dan meninggal dunia di wad Kecemasan Hospital Kulim.

"Mayat pemandu dan penumpang kereta Perodua Kancil itu dibawa ke Jabatan Perubatan Forensik Hospital Kulim untuk bedah siasat.

"Usaha untuk mengesan dan menahan pemandu Honda Civic berusia 28 tahun yang melarikan diri masih diteruskan dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kemalangan itu pada jam 8.18 malam.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim tiba di lokasi jam 8.42 malam.

"Pemandu Perodua Kancil berusia 42 tahun berjaya dikeluarkan oleh anggota BBP Tasik Gelugor, Pulau Pinang sebelum anggota BBP Kulim tiba," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Source: Info Roadblock JPJ / POLIS / Berita Harian

Popular Posts - Last 7 days

Popular Posts - Last 30 days

Blog Archive

LIVE VISITOR TRAFFIC FEED