4 Adun Bersatu boikot sesi libat urus DUN Pulau Pinang
Harian Metro
29/3/2021
Empat Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) memboikot sesi libat urus Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Pinang yang diadakan bermula Isnin.
Mereka itu adalah Adun Seberang Jaya Dr Afif Bahardin, Zulkifli Ibrahim (Sungai Acheh), Khaliq Mehtab Mohd Ishaq (Bertam) dan Zolkifly Md Lazim (Teluk Bahang).
Keempat-empat mereka itu mengesahkan ada diberitahu mengenai sesi libat urus yang diadakan sebagai pengganti Sidang DUN tetapi memilih untuk memboikotnya berikutan tindakan kerajaan negeri menarik balik peruntukan RM60,000 yang sudah diluluskan untuk setiap Adun pembangkang pada 20 Januari lalu.
Mereka diberitahu mengenai penarikan peruntukan tersebut melalui sepucuk surat pada 19 Februari lalu.
Keempat Adun berkenaan juga berikrar akan terus memberikan perkhidmatan kepada rakyat dan berusaha mendapatkan peruntukan dari kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang tidak akan membeza-bezakan mana-mana pihak dalam pelaksanaan projek dan aktiviti untuk kepentingan rakyat.
Source: Harian Metro YouTube